BANGKOK – Biarpun pernah dinasihatkan untuk melupakan terus dunia gimnastik akibat kecederaan, amaran itu tidak mematahkan semangat Rachel Yeoh Li Wen untuk bangkit sebelum berjaya membutirkan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Pengorbanan menjalani proses pemulihan rawatan dan meneruskan rutin latihan tanpa henti ternyata berbaloi apabila atlet berusia 27 tahun itu berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara palang bertingkat (uneven bars) di Bangkok.
Dalam aksi final yang berlangsung di Gimnasium 5, Universiti Thammasat itu, Rachel tampil dengan persembahan cukup kemas untuk mengumpul 13.300 mata sekali gus mengatasi dua pencabar hebat dari Filipina, Haylee Garcia dan Colleen Hong Kaijia dari Singapura.
Mendedahkan detik sukar yang hampir memusnahkan kariernya, gimnas kelahiran Pulau Pinang itu mengakui pernah berdepan kecederaan Posterior Cruciate Ligament (PCL) yang serius dan menjalani pembedahan pada tahun 2017.
“Doktor semua cakap tak payahlah main gimnastik lagi sebab kecederaan lutut saya sangat teruk.
“Tetapi bagi saya, saya rasa saya masih boleh pergi jauh. Saya paksa diri kerana sukan gimnastik adalah nyawa dan karier saya, jadi saya enggan mengalah,” katanya.
Kejayaan menuai emas ketiga peribadinya di pentas Sukan SEA ini disifatkan sebagai satu kepuasan selepas terpaksa ‘berkampung’ di Institut Sukan Negara (ISN) setiap hari bagi menjalani proses pemulihan kecederaan.
Jelas Rachel, selain bergelut dengan fizikal, dia juga bertarung dengan kekuatan mental sendiri sebelum melangkah ke gelanggang hari ini.
“Saya sebenarnya ‘berlawan’ dengan diri saya sendiri. Kemahiran semua sudah ada, cuma cabaran mental sering mengganggu.
“Hari ini saya berjaya atasinya. Emas ini adalah bukti kebangkitan saya dan saya dedikasikan kepada semua yang menyokong ketika saya jatuh,” ujarnya.
Beliau kini memasang impian besar untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028), selain bersedia beraksi di laman sendiri pada Sukan SEA 2027. -KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1






![[VIDEO] Ikan lumba-lumba muncul di Pantai Tembeling](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-11-at-15.13.03.jpeg)










































