Dilabel ‘prof kangkung’ gila jawatan, MUAFAKAT saman Rita Rudaini

2 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Tidak lagi berdiam diri, dua tokoh akademik nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon, Rita Rudaini, selepas dakwaan fitnah berlarutan beberapa bulan dan notis tuntutan RM1 juta sebelum ini tidak dipatuhi.

Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Mohd Roslan Mohd Nor, dan timbalannya, Saidah Haris @ Harith, memfailkan saman berkenaan melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 6 Disember lalu.

Peguam mereka, Datuk Adnan Seman, berkata saman itu difailkan selepas mendapati Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.

“Antara label fitnah yang dipertikaikan termasuk dakwaan mereka bongkak, narsis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak menerajui MUAFAKAT.

“Kenyataan tersebut turut dikaitkan dengan tuduhan salah urus wang ibu bapa, sekali gus mencetuskan penerbitan sebuah artikel yang memetik dakwaan mengenai kepincangan MUAFAKAT MRSM,” katanya kepada Kosmo! Online.

Adnan menegaskan kenyataan itu memberi kesan reputasi besar kepada kedua-dua plaintif memandangkan bilangan pengikut Rita dalam media sosial cukup ramai.

“Plaintif percaya defendan bertindak secara semberono serta mempunyai niat tidak baik apabila memuat naik kenyataan tanpa semakan.

“Justeru mereka menuntut perintah injunksi, permohonan maaf berbentuk video selama tiga bulan, pemadaman semua kenyataan fitnah serta ganti rugi am, teruk, pengajaran dan faedah 5% setahun,” jelasnya dalam satu sidang media, semalam.

Tambah Adnan, tindakan saman tersebut difailkan selepas Rita gagal memenuhi tuntutan notis bertarikh 15 Oktober lalu.

“Defendan tidak memadam pernyataan fitnah, tidak mengemukakan permohonan maaf dan tidak membayar ganti rugi am RM1 juta seperti diminta.

“Maka kes ini diangkat ke mahkamah,” tegasnya.

Untuk rekod, kedua-dua plaintif memiliki latar belakang akademik kukuh.

Mohd Roslan merupakan pensyarah kanan Universiti Malaya serta ahli beberapa Majlis Agama Islam Negeri, manakala Saidah pula berkhidmat sebagai pensyarah cemerlang Institut Pendidikan Guru, Munsyi Dewan Bahasa dan Panel Pembangunan Sijil Kemahiran Malaysia.

Terdahulu, pelakon Mami Jarum itu mendakwa, wujud kepincangan berlaku dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau dikenali Muafakat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |