MELAKA – Seorang pengurus syarikat insurans hari ini memberitahu di Mahkamah Majistret bahawa dia dimaki dan dipukul oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri selepas dituduh cuba ‘mencuri’ pekerja kenamaan itu, pada November tahun lalu.
Mangsa, Muhammad Nur Hakim Baharudin, 31, yang juga saksi pendakwaan, memberi keterangan dalam perbicaraan pertama di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia sedang menemu duga seorang wanita di sebuah kafe di Taman Kota Laksamana sebelum didatangi tertuduh, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, 63, iaitu Pengarah Urusan Fazil Group, bersama empat individu lain termasuk anak perempuannya, Nur Amalina Mohamad Fazil, 34.
“Tertuduh tiba-tiba memaki hamun saya dan memukul kepala menggunakan tangan serta topi yang dipakai hingga menyebabkan saya berasa sakit.
“Tertuduh kata “Bapa hang ni bodoh, bapa hang tak boleh ajar hang, aku yang ajar hang sampai pandai. Aku boleh beli Mercedes hang setiap hari. Hang jangan buat kerja bukan-bukan, kalau tak, hang tahu komando punya kerja macam mana”,” katanya.
Muhammad Nur Hakim berkata, wanita yang ditemu duga ketika itu merupakan pekerja di Fazil Group yang menjalankan perniagaan insurans konvensional dan calon berkenaan berhasrat untuk beralih kerjaya kepada insurans takaful.
Ketika sesi soal balas, Peguam Bala Subramaniam yang mewakili kesemua tertuduh menyoal sama ada mangsa pernah bekerja di Fazil Group serta memperoleh pengalaman dalam bidang insurans di syarikat itu.
Menjawab pertanyaan itu, Muhammad Nur Hakim mengakui pernah berkhidmat di syarikat berkenaan, namun menjelaskan beliau tidak mempelajari kemahiran dalam bidang itu secara langsung dengan Datuk Seri terbabit, sebaliknya bersama rakan sekerja.
Turut didakwa bersama dalam prosiding itu adalah Nur Amalina dan suaminya, Amran Azmi, 33, serta dua pekerja syarikat Fazil Group, Muhammad Azrul Syafiq Rosman, 29 dan Azian Ab. Rahim 38.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa mencapai niat bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah kafe di Taman Kota Laksamana, dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 8.30 malam pada 14 November 2024.
Mohamad Fazil dan Azian Ab. Rahim, 38, turut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah terhadap mangsa di lokasi, tarikh dan masa sama.
Sementara itu, Nur Amalina pula mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina terhadap mangsa dengan berkata, “Hang ni babi, bodoh, sial.”
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 21 dan 22 Januari tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5





![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)











































