Dewan Rakyat: Sarawak terima 1,697 guru baharu

1 month ago 41

KUALA LUMPUR – Seramai 1,697 guru baharu telah ditempatkan ke Sarawak menerusi inisiatif Pengambilan Khas Sarawak Tahun 2024.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sepanjang tahun 2024, KPM berjaya menempatkan seramai 13,749 orang guru baharu lantikan tetap dan lantikan Contract of Service (CoS) bagi sekolah rendah dan menengah ke seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,697 orang guru baharu telah ditempatkan ke negeri Sarawak dan merupakan antara negeri tertinggi yang menerima guru baharu.

“Sehingga 30 November 2024, jumlah pengisian guru di Sarawak adalah seramai 41,125 orang guru dari 43,334 perjawatan dengan jumlah kekosongan guru adalah 2,209 orang. Peratus pengisian guru adalah sebanyak 94.9 peratus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak yang telah berlarutan sejak sekian lama, serta perkembangan terkini berhubung usaha-usaha yang sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan isu ini.

Mengulas lanjut Kah Woh berkata, seramai 7,645 calon telah berjaya ditawarkan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam kedua-dua urusan pengambilan khas tersebut di mana seramai 1,372 calon adalah bagi penempatan di Sarawak.

“Atas usaha tersebut, KPM telah berjaya mengurangkan bilangan kekosongan guru di Sarawak sehingga 837 orang guru yang akan meningkatkan peratus pengisian guru di Sarawak kepada 98.06 peratus.

“KPM akan berusaha untuk memastikan kekosongan guru ini dapat diatasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Jelasnya, keutamaan akan diberikan kepada guru kelahiran Sarawak untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |