KUALA LUMPUR – Sebanyak RM4.32 bilion telah dibelanjakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bagi melaksanakan pelbagai projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara sejak lima tahun lalu.
Timbalan Menteri Petra, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelaksanaan projek tersebut dijalankan secara berperingkat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui pendekatan struktur dan bukan struktur bagi memperkukuh infrastruktur serta mengurangkan risiko bencana banjir.
“Secara keseluruhan, sebanyak RM541 juta dibelanjakan pada 2021, RM688 juta pada 2022, RM526 juta pada 2023, RM1.19 bilion pada 2024 dan RM1.39 bilion bagi tahun ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai jumlah peruntukan yang telah di belanjakan untuk projek tebatan banjir seluruh negara sejak lima tahun lalu. Berapa peruntukan untuk negeri Sabah mengikut daerah dan sejauh manakah inisiatif infrastruktur dan bukan infrastruktur yang dilaksanakan berjaya mengurangkan kesan dan kejadian banjir.
Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak 15 projek RTB telah dan sedang dilaksanakan di Sabah dengan anggaran kos keseluruhan RM948.1 juta.
“Daripada jumlah itu, empat projek telah siap, dua masih dalam fasa pra pelaksanaan, manakala sembilan lagi sedang berjalan.
“Pelaksanaan projek ini juga berjaya mengurangkan kawasan hotspot banjir di Sabah daripada 798 lokasi kepada 517 lokasi,” katanya.
Tambahnya lagi, peruntukan untuk Sabah diagihkan mengikut keutamaan daerah menerusi projek pemuliharaan sungai yang dijangka siap Disember ini.
“Sebanyak RM35.76 juta telah disalurkan kepada Sabah dari tahun 2022 hingga 2024 melibatkan 288 sebutharga kerja kecil seperti kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing serta naik taraf struktur saluran air.
“Bagi tahun 2025 pula, RM10.64 juta diperuntukkan bagi 58 sebutharga kerja kecil dengan skop yang sama,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.

10 hours ago
7






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































