Dewan Rakyat: KPKM sediakan tabung bencana bantu pesawah

1 month ago 27

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian bagi pengusaha tanaman selain padi yang terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM juga telah memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang mula dilaksanakan pada 13 September 2024.

Beliau berkata, skim takaful itu melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko termasuklah bencana banjir.

“Bagi Tabung Bencana Tanaman Padi, bantuan ini diberikan secara tunai khusus kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam.

“Mekanisme ini melibatkan beberapa peringkat penilaian meliputi penyediaan Laporan dan Penilaian Kerugian oleh agensi di lapangan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dihadapi oleh pesawah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai mekanisme pengagihan bantuan yang dirancang oleh pihak Kementerian untuk memastikan petani yang terjejas akibat banjir benar-benar mendapat bantuan tanpa penangguhan.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, laporan lengkap akan dibentangkan dan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal Peringkat negeri dan Jawatankuasa Induk di peringkat KPKM.

“Bagi menangani isu kemungkinan berlaku ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan, sebagai makluman, bantuan pesawah hanya diberikan kepada pesawah yang berdaftar dan telah melepasi Jawatankuasa Penapis di peringkat Agensi Teknikal.

“Seterusnya, semua permohonan bantuan akan dinilai dengan teliti dan disahkan oleh jawatankuasa di peringkat negeri sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal TBTP peringkat ibu pejabat,” ujarnya.

Katanya, untuk Tabung Bencana Pertanian, bagi permohonan bencana banjir, siasatan dan bancian dilapangan akan bermula dalam tempoh 14 hari selepas banjir selesai untuk tujuan menilai tahap kerosakan terhadap tanaman.

“Proses bancian dan siasatan yang dijalankan oleh jabatan dan agensi bagi sesuatu kawasan yang terjejas adalah dalam tempoh 30 hari.

“Walau bagaimanapun, proses bancian dan siasatan perlu dijalankan dengan teliti bagi bagi memastikan semua penerima bantuan adalah golongan sasar yang memerlukan dan mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan bantuan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |