Dewan Rakyat bertafakur, sedekah Al-Fatihah kepada Tun Abdullah

19 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Persidangan khas Parlimen pagi ini bertafakur selama seminit bagi menghormati dan memperingati pemergian bekas Perdana Menteri ke-5 , Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 14 April lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta semua Ahli Parlimen yang beragama Islam membacakan surah al-Fatihah, manakala yang bukan Islam bertafakur selama seminit.

“Sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham dan untuk mengenang
jasa-jasa Allahyarham, sekarang saya menjemput Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua hadirin sekalian berdiri bersama-sama saya.

“Bagi Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin yang beragama lslam diharap dapat menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham dan kepada yang bukan beragama lslam diminta bertafakur,” katanya.

Persidangan khas Parlimen hari ini diadakan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penerangan berhubung kesan tarif baharu import Amerika Syarikat terhadap ekonomi negara dan tindak balas kerajaan dalam perkara itu.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Ahli-ahli Dewan Negara serta Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri turut serta dalam sidang khas tersebut.

Terdahulu, Johari berkata, Allahyarham Tun Abdullah merupakan seorang tokoh negarawan, pemimpin yang ulung, berjiwa rakyat dan besar jasa serta sumbangannya kepada negara.

Menurut beliau, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai segenap lapisan masyarakat negara ini.

“Saya dan bagi pihak Yang di-Pertua Dewan Negara, Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta bagi pihak Parlimen Malaysia seluruhnya mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |