Dewan Rakyat: 245 pelajar OKU dilatih di ILJTM

1 week ago 13
Situs Informasi Live 24 Jam Viral Terbaru

KUALA LUMPUR – Seramai 245 pelajar orang kurang upaya (OKU) pelbagai kategori telah dilatih di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) bermula tahun 2020 hingga 2024.

Timbalan Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menyediakan elaun RM300 sebulan dan mengecualikan yuran pengajian mereka.

“Mereka dilatih di ILJTM dalam bidang Teknologi Rekabentuk Grafik, Teknologi Elektronik dan Teknologi Mekatronik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai strategi kerajaan untuk membantu OKU mendapatkan akses kepada pekerjaan yang sewajarnya.

Menurut Adnan, kesedaran, kesediaan dan keyakinan majikan untuk mengambil pekerja OKU masih kurang, malah ketiadaan aksesibiliti di tempat kerja menyukarkan OKU untuk diterima bekerja dalam pelbagai sektor.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memberikan pentauliahan kepada 1582 pusat bertauliah di seluruh Malaysia.

Kata beliau, sebanyak 922 daripada pusat itu telah menerima pelatih OKU untuk mengikuti latihan kemahiran termasuk tujuh yang dikhususkan sepenuhnya untuk OKU.

Beliau berkata, JPK juga telah memberi Persijilan SKM kepada OKU mulai tahun 2020 hingga 2024 dan seramai 1724 pelatih OKU telah mendaftar.

“Lebih daripada 2100 pelatih telah berjaya dipersijilkan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Kesuma dipertanggungjawabkan mengetuai Jawatankuasa Pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU)

Jelasnya, antara strategi dilaksanakan membantu OKU mendapatkan pekerjaan termasuk menubuhkan Pusat Satelit MYFutureJobs khusus untuk golongan OKU.

Kata beliau, Pusat Satelit MYFutureJobs itu terletak di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP Bangi) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS)

Tambahnya, Karnival Pekerjaan secara bersasar khusus untuk golongan OKU turut dilaksanakan selain program Return To Work (RTW)

“RTW adalah program pengurusan hilang upaya untuk membantu pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan kembali bekerja.

“Bagi tempoh 2020 sehingga 31 Disember 2024, seramai 70,566 pencari kerja OKU termasuk peserta program RTW telah berjaya ditempatkan pekerjaan,” katanya.

Kata beliau, strategi lain melaksanakan Program Disability Equality Training (DET) dan Return To Work Coordinator (RTWC) untuk memberi pendedahan serta sokongan kepada majikan bagi menggajikan pekerja OKU.

“Inisiatif Program Daya Kerjaya 2.0 dilanjutkan di bawah belanjawan 2025 dengan bayaran insentif kepada majikan sebanyak RM600 sebulan dalam tempoh tiga bulan.

“Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) memfokuskan program Person With Disabilities (PWD) Development untuk memperkasakan OKU dengan kemahiran latihan asas melalui pelbagai kursus berfokuskan kompetensi atau persijilan.

“Setakat Disember 2024, sebanyak 1,915 OKU menyertai program PWD Development,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |