SEPANG – Pelumba muda Switzerland, Noah Dettwiler bakal menjalani beberapa pembedahan susulan selepas terlibat dalam kemalangan ngeri ketika sesi sighting lap perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pagi tadi.
Pasukan CIP Green Power dalam satu kenyataan di media sosial memaklumkan bahawa pelumba berusia 20 tahun itu memerlukan pembedahan dan kini dalam penjagaan yang baik hospital di Kuala Lumpur.
“Pagi ini, semasa pusingan sighting lap di Sepang, pelumba kami, Noah Dettwiler, terlibat dalam kemalangan serius.
“Beliau telah dibawa ke hospital di Kuala Lumpur dan perlu menjalani beberapa pembedahan. Noah berada dalam jagaan yang baik, dan kami mohon semua pihak menghormati privasinya. Kami tidak akan berkongsi butiran lanjut pada masa ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam insiden di selekoh ketiga itu, jentera ditunggang Dettwiler dirempuh dari belakang oleh juara dunia Moto3 2025, Jose Antonio Rueda yang ketika itu sedang memecut laju keluar dari selekoh.
Rempuhan keras itu menyebabkan kedua-dua pelumba terpelanting sebelum diberi rawatan awal dan mereka berdua segera dibawa keluar menggunakan helikopter.
Akibat insiden tersebut, perlumbaan terpaksa ditangguhkan lebih sejam sebelum dimulakan semula dalam format dipendekkan.
Sementara itu, pasukan Red Bull KTM Ajo mengesahkan bahawa pelumbanya, Rueda kini dalam keadaan stabil, namun mengalami patah tangan dan gegaran otak akibat hentakan kuat semasa kemalangan.
“Selepas perlanggaran dengan Noah Dettwiler di selekoh tiga semasa sighting lap, Jose Antonio Rueda mengalami patah di tangan dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut.
“Beliau dalam keadaan sedar, stabil dan tiada kecederaan serius pada kepala atau bahagian badan lain,” jelas kenyataan pasukan itu. —KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3

















































