‘Demi Allah, saya tiada niat, tak patut fasal kahwin secara umum’

4 hours ago 6

PETALING JAYA – Pelakon Uqasha Senrose akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka selepas mengakui tersilap langkah memuat naik hantaran dalam media sosial baru-baru ini hingga menyinggung pelbagai pihak termasuk keluarganya sendiri.

Ujar Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dia menerima tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah dikongsikan dan tidak sesekali berniat menimbulkan aib mahupun kemarahan mana-mana pihak.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua yang menonton video, gambar atau membaca kapsyen saya sebelum ini.

“Saya sedar perkongsian itu telah menimbulkan kemarahan ramai dan mungkin membuka keaiban orang lain. Demi Allah, saya tidak berniat begitu,” katanya.

Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram, pelakon drama Bisikan Dosa itu ditemani ibunya, Rosmizai Mohd Noor, serta seorang individu dikenali sebagai Cerai Coach.

Dalam nada penuh penyesalan, ibu satu anak itu mengakui tidak seharusnya mengulas hal rumah tangga dalam keadaan terlalu beremosi.

“Saya tak patut bercakap tentang perkahwinan saya secara umum. Masa itu saya marah, sedih dan penat.

“Saya beri reaksi berlebihan kerana dikuasai emosi. Tapi semua itu bukan alasan. Saya tetap salah dan dengan rendah hati, saya mohon maaf,” ujarnya.

Tambahnya, selepas menenangkan diri, dia menyedari tindakan tersebut tidak wajar dan seharusnya diselesaikan secara matang serta peribadi.

“Saya patut uruskan perkara ini secara lebih tenang dan tertutup, bukan di media sosial. Apa yang berlaku memang salah saya sendiri.

“Sekarang saya mahu fokus memperbaiki diri, belajar daripada kesilapan dan menjadi insan serta ibu yang lebih baik,” luahnya.

Terdahulu, Uqasha mencetus perhatian ramai apabila mendakwa dirinya diperdaya suami, pelakon Kamal Adli, serta keluarga berkaitan tarikh sebenar pernikahan mereka.

Dalam hantarannya, Uqasha mendakwa dia dinikahkan pada 5 November 2021 pukul 9 pagi, namun tarikh pada sijil pernikahan menunjukkan 4 November 2021 pukul 9.30 malam.

Tidak lama selepas itu, hantaran berkenaan dipadam daripada akaun Instagram miliknya.

Permohonan maaf tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen, ada yang menzahirkan rasa simpati serta mendoakan agar pasangan itu diberi kekuatan, manakala segelintir pula berharap Uqasha lebih berhati-hati dalam mengurus emosi dan kehidupan peribadi selepas ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |