‘Dahulu fesyen lelaki bosan, dilarang pakai baju merah jambu’

4 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Benarlah trend sama ada muzik, makanan atau fesyen berevolusi di atas paksinya sendiri. Sesuatu yang dahulunya mustahil diterima atau dilarang, adakalanya kini bukan lagi asing dan begitulah sebaliknya.

Bercakap tentang gaya atau penampilan, penyanyi juga tukang masak selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengakui pernah dilarang untuk memakai baju berwarna merah jambu sewaktu awal pembabitannya sebagai penyanyi.

Menurut Fazley atau nama lengkapnya Ahmad Fadzli Yaakob, 47, perkara itu terjadi sewaktu dia menjalani penggambaran kulit depan majalah popular lebih dua dekad lalu.

“Zaman dahulu fesyen artis lelaki agak terbatas dan kelihatan bosan. Ketika saya baru bermula di era kaset, artis lelaki perlu ikut gaya yang ringkas seperti memakai baju berona gelap, berambut pendek dan berminyak serta tidak boleh pakai aksesori.

“Saya pernah dipakaikan baju berwarna merah jambu untuk penggambaran sebuah majalah. Tetapi pihak pengurusan saya ketika itu minta agar baju itu ditukar. Kerana bagi mereka warna merah jambu tidak melambangkan sifat lelaki yang sempurna,” katanya kepada Kosmo Online.

Tambah pelantun lagu Asmara Ini itu lagi, seiring peredaran zaman, dia juga mengubah selera fesyennya mengikut keinginan sendiri.

“Kalau lihat gambar saya yang dulu dengan sekarang, Ibarat dua orang yang berbeza. Kalau dulu saya pakai minyak wangi sebotol, kini saya pakai di bahagian tertentu sahaja. Kalau dulu saya tak boleh warnakan rambut, kini saya sudah boleh warnakan.

“Begitu juga dengan pemilihan pakaian. Sekarang saya dah boleh pakai baju warna pink. Boleh pakai aksesori, jam dan kasut yang berwarna warni,” jelasnya.

Kongsi juara MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama itu lagi, dia kini lebih kerap menjalani rawatan penjagaan wajah dan tubuh di pusat kecantikan selepas dilantik menjadi jurucakap BMF.

“Zaman sekarang semakin ramai kaum adam yang menitikberatkan penampilan diri. Namun tidak dinafikan masih ada segelintir yang berfikiran kolot dengan mengaitkan lelaki yang menjaga penampilan disama dengan perempuan.

“Era sekarang menjaga penampilan adalah satu kewajipan tidak kira lelaki atau perempuan.

“Kalau kita lihat selebriti dari luar negara seperti Hollywood, Hong Kong, Jepun dan Korea, mereka sangat menjaga penampilan mereka malah ada yang bersolek. Tetapi kenapa orang kita boleh terima dan menyanjung mereka berbanding selebriti tempatan yang sering terima kecaman,” ujarnya.

Selain bertindak sebagai duta BMF, Fazley juga melatih pekerja-pekerja syarikat korporat termasuklah CEO untuk menjaga penampilan diri seperti melakukan rawatan merias kuku, mencukur misai dan mencegah bau badan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |