Cindy dapat tonik sebelum ke Sukan SEA

9 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Atlet triatlon negara, Cindy Sui mendapat motivasi terbaik menjelang penampilan sulung di Sukan SEA Thailand 2025 selepas menjuarai acara pecut wanita pada saingan Aquathlon Kuala Langat 2025.

Pada acara yang berlangsung di Tanjung Sepat hari ini, atlet berusia 27 tahun itu menamatkan saingan melibatkan renang 750 meter (m) dan larian 5 kilometer (km) menerusi catatan masa 34 minit 33 saat (s).

Cindy yang mula menceburkan diri dalam sukan lasak itu sejak tiga tahun lalu mengakui, penyertaan pada Aquathlon Kuala Langat menjadi platform untuk dia melakukan latihan dan persediaan.

“Perlumbaan ini memberi gambaran jelas mengenai apa perlu dilakukan di Sukan SEA kerana aquathlon akan menjadi acara pertama saya di sana. Walaupun hari ini bukan perlumbaan utama tetapi ia tetap penting untuk menilai prestasi.

“Ia menjadi peluang untuk saya lihat bagaimana tubuh memberi tindak balas serta apa yang perlu diperkemaskan lagi selepas ini sebelum beraksi di Sukan SEA nanti,” kata bekas perenang Sarawak itu.

Dalam pada itu, Cindy turut mengakui keputusan untuk beralih angin ke sukan lasak membawa rahmat cukup besar buat dirinya apabila berjaya memenuhi impian mewakili pasukan negara ke pentas antarabangsa.

“Saya menjadi perenang kompetitif sejak kecil lagi tetapi tahap tertinggi saya hanya Sukma (Sukan Malaysia) dan tidak berjaya menembusi skuad kebangsaan, jadi saya fikir impian mewakili Malaysia sudah berakhir.

“Apabila menyertai triatlon, segalanya berubah. Saya tidak pernah bayangkan sukan lasak untuk diri saya tetapi sekarang saya dapat mewakili pasukan kebangsaan di pentas besar dan ia merupakan keputusan terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Koperal Khairil Azhar Abdul Wahid dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menguasai kategori jarak Olimpik lelaki menerusi catatan masa 1 jam 05 minit 23 saat (s) melibatkan disiplin renang 1.5km dan larian 10km.

Sebagai rekod, Aquathlon Kuala Langat yang dianjurkan Majlis Perbandaran Kuala Langat bersama XS Elite Performance dan AMMJB sudah memasuki edisi ketiga dengan penganjuran kali ini menarik 550 peserta dari 18 negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |