Orang awam cemas apabila serpihan dinding konkrit dari tingkat 12, bangunan Setia Triangle, Persiaran Kelicap, Bayan Lepas di sini runtuh, tengah hari tadi.
- Oleh SAFINA RAMLI
- 27 Oktober 2025, 3:42 pm
GEORGE TOWN – Orang awam cemas apabila serpihan dinding konkrit dari tingkat 12, bangunan Setia Triangle, Persiaran Kelicap, Bayan Lepas di sini runtuh, tengah hari tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.15 tengah hari.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru.” Jentera pertama tiba pada pukul 12.21 tengah hari dan hasil pemeriksaan mendapati serpihan dinding bangunan setebal tiga inci telah runtuh dan jatuh dari tingkat 12 ke kawasan bawah.
”Tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut. Anggota kemudian bertindak memasang penghadang keselamatan (sawar-sawar) di kawasan terjejas dan mengosongkan bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.
”Pasukan juga memberi khidmat nasihat kepada penghuni agar tidak memasuki kawasan berkenaan sehingga keadaan benar-benar selamat.
”Seramai 10 anggota termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan satu jentera FRT dan satu unit EMRS dari BBP Bayan Baru,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat ini, operasi kawalan dan keselamatan masih dijalankan bagi memastikan tiada risiko runtuhan susulan di kawasan berkenaan. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1
















![[VIDEO] Dipaksa makan daging babi, minum arak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0524.jpeg)
































