BAGAIMANAKAH kaedah pelupusan al-Quran yang rosak akibat banjir ?
JAWAPAN: PARA ulama telah khilaf bagaimana cara melupuskannya kepada dua pendapat. Pertama : Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya.
Ulama Hanafi antaranya al-Haskafi berkata: “Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati.”
Al-Buhuti, seorang ulama dalam mazhab Hanbali berkata : “Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa Abu al-Jawza’ telah basah mushafnya lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya.” Lihat Kasyaf al-Qina’ 1/137
Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya. Lihat al-Fatawa 13/84
Kedua : Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.
Hujah bagi pendapat yang kedua ini adalah berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4988. Mus’ab bin Sa’d berkata : “Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar. Perbuatan tersebut menjadi kehairanan bagi mereka tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka mengingkarinya.”
Selepas meneliti dua pandangan di atas sama ada menanamnya atau membakarnya, saya melihat bahawa adalah diharuskan kedua-duanya kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Qur’an atau mushaf.
Walaupun begitu, saya lebih cenderung kepada hujahan mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar.
Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya. Ini kerana ia memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu debu yang berbaki ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hanbali.
Mutakhir ini telah wujud alat moden dalam menghancurkan kertas sehingga menjadi seperti debu atau serpihan halus dan tidak kekal lagi walaupun kalimah dan huruf secara zahir. Kemudian ia dibakar dan ditanam, maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan al-Qur’an daripada dihina atau dipijak.
Begitu juga terpakai dalam isu berkenaan dengan nama-nama Allah, kitab-kitab hadis atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah.

9 hours ago
25







![[VIDEO] ‘Musim tengkujuh, sampah hanyut dari luar sampai pantai Terengganu’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-02-at-15.12.59.jpeg)











![[VIDEO] Titi gantung runtuh, rombongan pengantin lelaki jatuh sungai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-02-at-10.47.00.jpeg)





























