Calon teraju jawatankuasa teknokrat Gaza didedah

9 hours ago 5

BANDAR GAZA – Ketua rangkaian organisasi masyarakat sivil di Gaza, Amjad Al-Shawa didakwa menjadi calon yang dipersetujui untuk mengetuai jawatankuasa teknokrat yang akan mentadbir Gaza dalam fasa pembangunan semula wilayah Palestin itu, lapor agensi berita SadaNews kelmarin.

Memetik Perbadanan Penyiaran Awam Israel (KAN), laporan itu yang memetik beberapa sumber berkata, Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) bersetuju dengan pelantikan Amjad semasa mesyuarat yang diadakan di Kaherah bersama perkhidmatan perisikan Mesir.

Namun, ia menunggu pengesahan keputusan itu selepas Amerika Syarikat (AS) meluluskannya.

Menurut saluran berbahasa Ibrani tersebut, Amjad dilihat sebagai tokoh yang ‘selesa’ untuk Hamas, setelah beliau mengekalkan hubungan seimbang dengan pergerakan itu selama bertahun-tahun tanpa bersemuka atau mengkritiknya secara terbuka.

Sumber menjelaskan bahawa pengantara yang diketuai Mesir telah membentangkan senarai penuh ahli jawatankuasa yang dicadangkan kepada Hamas. Ia bagi memastikan kelulusan kumpulan itu dan mengurangkan kebimbangannya mengenai komposisi kerajaan yang akan mentadbir Gaza.

Amjad dilahirkan di Gaza pada tahun 1971 dan dianggap sebagai salah seorang aktivis kemanusiaan serta hak asasi manusia yang terkemuka di Palestin. 

Beliau kini memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Agung Suruhanjaya Bebas untuk Hak Asasi Manusia, selain memainkan peranan sebagai Pengarah Besar Rangkaian NGO Palestin dalam sektor tersebut.

Amjad dikenali kerana pembelaannya yang berterusan terhadap hak asasi manusia dan mempromosikan kerja sivil, selain beliau mempunyai hubungan luas dengan institusi antarabangsa dan kemanusiaan. 

Menurut pemerhati, ia menjadikannya calon konsensus yang mampu menguruskan fasa peralihan di Gaza dengan persefahaman tempatan dan antarabangsa. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |