‘Bukan sahaja anak, ibu bapa datuk nenek pun kena pantau’

1 month ago 36

PETALING JAYA – Kecerdasan buatan (AI) semakin canggih apabila iklan penyegerakan bibir (lip sync) menggunakan pelakon terkenal dan pempengaruh dalam mempromosi produk mencuri perhatian ramai di media sosial.

Menerusi hantaran pengguna Threads @Amiensanek, penggunaan AI bukan sahaja berjaya mendapat perhatian ramai malah, berjaya memperdayakan netizen untuk membeli produk yang dipromosi.

“Sejak AI makin canggih, makin galak ‘lip sync’ dan ‘deepfake’ ini. Kasihan warga tak celik Internet yang mudah percaya.

“Kadang iklan itu daripada syarikat luar dengan penggunaan ayat terjemahan sahaja. Dengar iklan yang pelik di telefon ibu bapa, memang terus saya ambil dan laporkan iklan itu.

“Ini baru penyamaran AI gunakan pempengaruh, selebriti, doktor atau penceramah. Bayangkan kita yang bukan siapa-siapa digunakan untuk promosi produk,” katanya.

Selain itu, seorang wanita turut berkongsi rakaman beberapa video promosi produk di aplikasi TikTok menggunakan pembaca berita serta beberapa selebriti terkenal tanah air.

“Penggunaan AI ini semakin menjadi-jadi. Bukan kita sahaja kena jaga anak dari Internet, ibu bapa serta atuk nenek pun kena pantau juga,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang warga emas terperdaya dengan video dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga sanggup datang dari jauh semata-mata mahu membeli ubat sakit mata kononnya dijual pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar.

Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata turut bimbang dengan pengguna AI yang semakin canggih sehingga ramai tertipu.

“Mak saya pun minta anak-anak belikan buah tin kering sebab tengok video begini menggunakan seorang ustazah terkenal. Katanya boleh turunkan gula dan darah tinggi. Puas dinasihat sampai bergaduh,” komen @Diannomaly.

“Boleh wajibkan penggunaan media sosial bersama kad pengenalan untuk bendung penipuan. Inilah akibat kalau semua orang boleh buat akaun media sosial dengan bebas,” komen @Symkshni. –KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |