Budak U antara 3 didakwa liwat, amang seksual gadis

9 hours ago 5

MUAR – Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini antara tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan meliwat dan amang seksual fizikal terhadap gadis berusia 17 tahun, minggu lalu.

Mereka ialah Muhammad Azim Izzuddin Mohd Ibrahim, 22, Muhamad Hairie Ikmal Mazlan, 27, dan Mohamad Norhisham Mesni, 34.

Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron. Muhammad Azim berhadapan tiga pertuduhan iaitu melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dengan meliwat dan amang seksual mangsa berusia 17 tahun di sebuah rumah tumpangan di Batu Pahat.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Manakala Muhamad Hairie Ikmal dan Mohamad Norhisham masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) akta sama dengan melakukan amang seksual mangsa masa.

Kesemua kejadian itu berlaku di lokasi sama pada pada pukul 8 pagi, 3.30 dan 5.30 petang, 13 dan 14 Oktober lalu.

Hukuman bagi kesemua pertuduhan adalah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen dengan Muhammad Azim Izzuddin diwakili peguam Syafie Naim manakala Muhamad Hairie Ikmal dan Mohamad Norhisham tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Muhammad Azim Izzuddin diikat jamin sebanyak RM18,000 manakala Muhamad Hairie Ikmal dan Mohamad Norhisham masing-masing RM10,000 seorang.

Selain itu, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh berkomunikasi atau mengganggu saksi termasuk mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 5 Disember ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam dua tertuduh, Muhamad Hairie Ikmal dan Mohamad Norhisham.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |