ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran berusia 11 tahun terpaksa menjalani pembedahan kerana didakwa mengalami pendarahan teruk selepas berkhatan di sebuah masjid di sini semalam.
Menurut bapa kanak-kanak terbabit, Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, anaknya selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada pagi tadi.
Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai satu program berkhatan di sebuah masjid dengan bayaran RM50.
“Anak saya berkhatan sebelah petang selepas mendapat nombor giliran ke-48 daripada 50 peserta. Prosedur itu dilakukan doktor dan waris tidak dibenarkan masuk untuk melihat.
“Doktor bertugas kemudian meminta saya membawa pulang anak setelah selesai berkhatan dan tidak lama selepas itu, bahagian luka pada alat sulit anak mengalami pendarahan,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dakwanya, dia seterusnya memaklumkan perkara itu kepada pihak doktor terlibat dan meminta supaya dia membawa anak ke sebuah klinik di sini.
“Di klinik itu, doktor membuka semula jahitan dan menjahit semula pada bahagian luka tersebut tetapi masih berlaku pendarahan. Doktor itu kemudian meminta saya bawa anak ke sebuah lagi klinik di Jitra dekat sini.
“Darah terus mengalir dan saya bimbang melihat keadaan anak semakin lemah, namun saya tetap ke klinik di Jitra itu kerana doktor kata ada mesin untuk berhentikan darah,” dakwanya.
Dakwanya, di klinik berkenaan, doktor membuka semula jahitan dan meminta dia membawa anaknya ke bahagian kecemasan HSB.
“Di HSB, doktor beritahu akan jahit luka tersebut sebelum menjalani pembedahan pada pagi tadi. Alhamdulillah keadaan anak nampak baik dan masih dirawat di wad HSB,” jelasnya.
Dakwanya, dia setakat ini belum dimaklumkan tentang punca anaknya mengalami pendarahan yang teruk itu. – KOSMO! ONLINE