BINTULU – Seramai 11 lagi suspek yang terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan seorang lelaki yang juga peniaga sate terbunuh di kaki lima sebuah pusat hiburan di sini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, kesemua lelaki terbabit dipercayai sedang bersembunyi sejurus selepas kejadian yang berlaku pada awal pagi 27 April lalu.
“Pihak polis tidak berkompromi dan komited mengesan suspek yang masih bebas dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan.
Menjelas lanjut, beliau berkata, lima daripada suspek yang dikenal pasti berbangsa Bugis dikenali sebagai Firman Ladawi @ Man Bugis, Firdaus @ Daus, Ilham Serudin @ Apek, Acok dan Piee @ Piee Bugis.
Selain itu, katanya, dua lagi suspek adalah berbangsa Melayu dikenali sebagai Alpian Asri dan Helmi Asri, dua berbangsa Dayak iaitu Luas Dundang dan Rezza, seorang berbangsa Melanau dikenali sebagai Shahrol Khairul serta seorang Cina dikenali sebagai Paw Kek Loong @ Ahlong.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesemua suspek tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohammad Hashim Kasman di talian 014- 6817837 dan Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304.
Sementara itu, Nixon berkata, ketika ini pihaknya telah menahan sembilan orang suspek terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an.
“Kesemua suspek direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun,” katanya.- KOSMO! ONLINE