Rinjani maut: ‘Ini gunung terakhir saya’

2 hours ago 2

PETALING JAYA – Hasrat seorang pendaki Malaysia melakukan pendakian kali terakhir berubah tragedi apabila maut ketika dalam perjalanan turun selepas menawan puncak Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, semalam.

Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh di laluan curam Torean, yang merupakan salah satu daripada tiga laluan terdapat di gunung itu.

Adik arwah yang mahu dikenali sebagai Yana berkata, Allahyarham berlepas ke Indonesia pada 30 April lalu bagi menyertai ekspedisi pendakian bersama 23 pendaki lain anjuran Juan Adventure Rinjani.

Menurutnya, Allahyarham sepatutnya dijangka pulang ke Malaysia hari ini selepas selesai melakukan pendakian.

“Kali terakhir kami berkumpul pada Aidilfitri lalu dan abang beritahu ini (gunung) akhir yang dia mahu daki.

“Selepas itu, dia (kata) nak sertai maraton saja dan sebelum ini arwah selalu sertai maraton,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Yana berkata berkata, mereka sekeluarga terutama isteri Allahyarham Rennie masih bersedih selepas menerima berita kejadian menimpa abangnya itu pada 8 pukul malam semalam.

Bagaimanapun, kata Yana, jenazah Allahyarham masih terperangkap di lokasi kejadian berikutan keadaan gunung yang agak mencabar untuk membawa keluar jenazah.

“Helikopter tidak dapat masuk ke kawasan itu kerana keadaan cerun yang terlalu curam. Pasukan penyelamat kini sedang berusaha membawa jenazah keluar secara manual dengan berjalan kaki.

“Proses ini dijangka mengambil masa sekitar sehari memandangkan laluan yang perlu dilalui amat sukar dan mencabar,” jelasnya.

Difahamkan, Allahyarham yang menetap di Seri Alam Johor merupakan jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas serta mempunyai tiga orang anak.

Terdahulu, media melaporkan seorang pendaki Malaysia terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani sekitar pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.

Untuk rekod, laluan Torean di Gunung Rinjani dibuka secara rasmi pada 2020 yang menawarkan pemandangan indah, namun lebih mencabar dan ekstrim berbanding Sembalun dan Senaru. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |