Sebaik tiba di lobi Birkin International Hotel (Birkin Hotel), sebuah hotel yang baru beroperasi pada pertengahan bulan lalu, segala tekanan melalui kesesakan lebuh raya utama terus lenyap selepas menikmati persekitaran indah dan nyaman dari luar premis hotel serta layanan mesra kakitangan tatkala menyambut tetamu.
Hotel berkonsep premium, mewah dan privasi itu memberi pengalaman unik buat pelancong yang mahukan sebuah destinasi yang jauh daripada kesesakan bandar Melaka.
Dari pemandangan jauh hotel yang bernilai lebih daripada RM500 juta dengan memiliki 526 bilik, hotel itu dilihat seumpama sebuah kapal dan pastinya ia menawarkan pemandangan indah ketika matahari terbenam dan juga terbit sang suria di awal pagi daripada setiap balkoni bilik.
Pengurus Besar hotel, Simon Tan berkata, hotel tersebut sudah mula menerima pengunjung dan ia akan siap sepenuhnya, malah bakal dilancarkan secara rasmi pada pertengahan tahun ini.
Selain keunikannya itu, Birkin Hotel begitu komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan ada projek yang dilaksanakannya itu adalah pertama diperkenalkan di Melaka malah juga di negara ini.
“Kami begitu komited terhadap pematuhan inisiatif ESG malah baju kakitangan juga dibuat daripada bahan kitar semula, tiada plastik dan kertas digunakan.
“Kami mahu menjadi perintis dalam pelbagai inisiatif dan bersedia menawarkan idea kepada pasaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang perkembangan hotel?
SIMON TAN: Hotel ini sudah mula dibuka pada pertengahan bulan Januari lalu dan telah mendapat sambutan baik daripada pengunjung.
Ia adalah sebuah hotel yang berorientasikan kekeluargaan yang memenuhi keperluan ibu bapa sehingga kanak-kanak kerana kemudahan disediakan di sini dapat merapatkan lagi hubungan kemesraan sesebuah keluarga.
Saiz biliknya adalah yang terbesar di negeri Melaka meskipun untuk bilik standard biasa. Selain itu, kami juga melengkapkan bilik hotel dengan saiz katil yang lebih besar, tilam berinovasi selain bantal dan selimut serta tuala yang berkualiti tinggi khusus untuk Birkin Hotel.
Ia menampilkan konsep mewah dan premium bagi menawarkan pengalaman bercuti, berehat, bersantai dan menjamu selera. Lebih menarik setiap bilik memiliki balkoni masing-masing dan ia menawarkan pengalaman cantik kerana ia menghadap laut.
Pastinya ia sebuah hotel mewah, berapakah kadar harga bilik?
Hotel ini memiliki privasi yang tersendiri dan ramai yang mengaguminya kerana lokasinya begitu strategik dan bersesuaian serta tidak berada dalam kawasan bandar yang sibuk.
Ramai pengunjung membuat tempahan dalam platform online dan juga mendaftar terus ke hotel ini kerana mereka mampu membayar harga bilik yang ditawarkan lebih daripada RM700 hingga RM1,000 semalam.
Untuk fasa pembukaan ini, kami tawarkan harga promosi di bawah RM500 semalam.
Birkin Hotel begitu agresif melaksanakan pelbagai langkah dan projek untuk mencapai inisiatif ESG, boleh jelaskan apa projek tersebut?
Kami sediakan air minuman khusus untuk pengunjung di bilik hotel melalui proses pengeluaran air minuman sendiri.
Kami ada rangkaian pengeluaran sendiri yang mana ia dilakukan secara automasi. Pemprosesan tersebut melibatkan pembersihan dan sanitasi serta pengisian air yang ditapis mengikut standard industri.
Kami telah membeli mesin tersebut dan projek ini dilakukan secara dalaman untuk kegunaan hotel sahaja. Ia akan mula beroperasi April ini.
Berapakah pelaburan dan bagaimana pulangannya kepada hotel untuk jangka panjang?
Kami melabur lebih daripada RM500,000 untuk mesin yang diimport. Kami sedang membuat pengubahsuaian dalam satu kawasan di hotel ini untuk dijadikan pusat pengeluaran air minuman.
Pastinya ia akan memberi satu penjimatan yang baik kepada hotel dalam tempoh jangka panjang.
Adakah ia perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa dan kesihatan?
Idea projek ini datang ketika saya berada di China. Selalunya proses pengeluaran air minuman di bilik hotel akan diuruskan oleh pihak ketiga dan kini kami mahu melakukannya sendiri.
ami sedang mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa termasuk juga sijil halal.
Adakah inisiatif ini akan menjadi perintis kepada hotel lain membuat pengeluaran air minuman sendiri?
Ini adalah projek pertama yang diperkenalkan di Melaka, malah juga di negara ini. Pastinya saya yakin ia akan menjadi model dan perintis dalam industri ini sekali gus menjadi rujukan oleh pihak lain untuk melaksanakan pendekatan tersebut
Apa lagi inisiatif kelestarian yang dilaksanakan hotel?
Kami juga adalah hotel pertama yang melaksanakan pembungkusan makanan untuk diserahkan kepada food bank.
Kami memiliki mesin khusus bagi makanan yang telah dimasak tetapi belum disentuh lagi jadi ia melalui satu proses dan dimasukkan dalam mesin berkenaan untuk dihidrat.
Pek makanan tersebut boleh bertahan selama dua tahun dan ia akan diserahkan kepada pihak yang menguruskan Food Bank yang datang dari Putrajaya. Bekalan makanan ini sangat diperlukan dalam keadaan kecemasan dan kawasan bencana alam.
Bagaimana pula dengan sisa makanan, adakah ia juga akan diproses?
Ia juga menjadi keutamaan kami untuk mengelakkan daripada pembuangan sisa makanan.
Sisa makanan itu akan dimasukkan di dalam sebuah mesin dan diproses menjadi baja kemudian baja itu digunakan untuk semua tanaman, pokok bunga di sekitar hotel ini.-KOSMO! ONLINE