PETALING JAYA – Didakwa bercerai, pelakon Nadzmi Adhwa menafikan gosip yang tular mengenai perkahwinannya dengan isteri, penyanyi Ardell Aryana sudah berakhir.
Nadzmi atau nama lengkapnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 33, berkata, terdapat golongan yang suka menggunakan ‘clickbait’ atau umpan dalam media sosial agar netizen klik pautan tertentu.
“Apabila keluar di carian TikTok itu disebabkan orang suka untuk tengok (perceraian artis). Kalau taip nama artis, mesti kata bercerai.
“Inilah yang dikatakan fitnah sebab benda ini memang tak betul. Realitinya kami bahagia, tiada masalah pun. Kami aman.
“Kalau setakat bergaduh suami isteri itu biasalah bagi pasangan berkahwin,” katanya ketika ditemu bual dalam program Melodi.
Bapa kepada dua cahaya mata mengakui terkesan berdepan fitnah dilemparkan apabila ada dalam kalangan ahli keluarganya mempercayai ‘umpan’ tersebut.
“Memang terkesan. Ramai saudara-mara kami telefon bertanyakan kesahihan perkara itu sedangkan kami alhamdulillah baik-baik sahaja.
“Rumah tangga ada turun naik takkanlah saya nak bercerita pada semua orang. Setakat ini tiada pun yang serius.
“Nak kahwin bukan senang, penat-penat bina masjid, takkan tiba-tiba nak cerai pula. Minta dijauhkan,” ujarnya.
Pada masa sama, pelakon drama Hati Perempuan itu tidak menolak tentang penyakit ain yang berkemungkinan boleh berlaku terhadap dirinya dan keluarga.
“Ada sakit itu, sakit ini, jadi penyakit ain itu kemungkinan pun ada. Jadi kami ambil pendekatan untuk tidak terlalu menonjolkan kebahagiaan. Kami pilih privasi.
“Kami kena sentiasa beringat dan berhati-hati sebab kita tak tahu apa yang orang boleh buat pada kita. Jangan menunjuk-nunjuk pada orang,” katanya.
Nadzmi yang juga penyanyi turut berharap netizen mendoakan kesejahteraan hidupnya dengan Ardell dan anak-anak mereka.
“Harapnya orang ramai jangan terus percaya dengan sebarang berita sebegini. Bukan apa, kalau bercakap tentang benda buruk, takut nanti terjadi.
“Doakanlah kami aman sahaja, tolonglah jangan doa yang bukan-bukan,” kongsinya.
Perkahwinan Nadzmi dan Ardell pada 1 September 2019 dikurniakan dua orang cahaya mata, Arwa Malaikha Urwa, 5, dan Arwa Uthman Affan, 2. – KOSMO! ONLINE