PETALING JAYA – Tidur dalam bilik berhawa dingin dengan suhu serendah 16 darjah Celsius, namun terjaga di tengah malam dengan badan dan bantal basah lencun akibat berpeluh mungkin bukan sekadar kesan mimpi ngeri.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu perkongsian di Facebook memberi peringatan bahawa keadaan tersebut boleh menjadi isyarat awal jangkitan tibi (tuberculosis) yang aktif, khususnya jika ia berlaku berulang hampir setiap malam.
Menurut PHM, ramai menganggap peluh malam berpunca daripada cuaca panas atau mimpi buruk, sedangkan tubuh sebenarnya sedang menghantar ‘isyarat SOS’ apabila berdepan jangkitan serius.
Keadaan dikenali sebagai night sweats atau berpeluh malam itu merupakan salah satu tanda klasik tibi iaitu penyakit berjangkit yang sering disalah anggap hanya berlaku apabila pesakit mengalami batuk berdarah.
“Hakikatnya kuman tibi bijak menyorok. Sebelum batuk berdarah berlaku, terdapat beberapa tanda awal yang sering dipandang ringan,” jelas PHM.
PHM berkata, antara tanda awal yang dikesan ialah berpeluh malam tanpa sebab jelas disebabkan badan cuba menurunkan suhu akibat demam gred rendah ketika tidur bagi melawan jangkitan kuman.
“Selain itu, pesakit mungkin mengalami penurunan berat badan mendadak walaupun selera makan meningkat, disebabkan nutrien dalam badan ‘dicuri’ oleh kuman tibi.
“Tanda lain termasuk demam tidak menentu yang biasanya muncul pada waktu petang atau senja, di mana badan terasa panas dan menggigil sebelum kembali normal keesokan pagi,” katanya.
Portal kesihatan itu menambah, sakit dada ketika menarik nafas dalam atau semasa batuk juga antara simptom yang perlu diberi perhatian, di samping batuk berterusan melebihi dua minggu.
PHM menegaskan tibi bukan disebabkan keturunan atau akibat gangguan mistik, sebaliknya penyakit berjangkit yang boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan dan dirawat lebih awal. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4

















































