Barangan tiruan berjenama mewah bernilai RM1.43 juta dirampas

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket menjual barangan tiruan berjenama mewah selama hampir dua tahun akhirnya terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merampas lebih 20,000 unit barangan disyaki palsu bernilai RM1.43 juta dalam serbuan di dua premis sekitar ibu negara, semalam.

Operasi di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (OPS ACD 2019) itu dilaksanakan dengan kerjasama tiga wakil pemilik cap dagangan melibatkan dua premis perniagaan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua premis disyaki memiliki, menjual, menawarkan serta mendedahkan untuk jualan barangan yang dipakaikan cap dagangan secara salah dan melanggar peruntukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Ketika serbuan dijalankan, kedua-dua premis beroperasi dengan kehadiran pekerja serta pemilik yang merupakan warganegara tempatan.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan telah beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu, dengan bekalan barangan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum dipasarkan di pasaran tempatan.

“Premis terbabit turut disyaki aktif menjual barangan tersebut kepada pelanggan sekitar Lembah Klang selain memasarkan jualan melalui platform dalam talian kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini

Beliau berkata, KPDN WPKL menyita sebanyak 20,357 unit barangan melibatkan minyak wangi dan krim penjagaan kulit berjenama terkenal antaranya Louis Vuitton, Gucci, Chanel, Hermes, Yves Saint Laurent, Burberry, Chloe, Lancome, Calvin Klein, Jo Malone, Dior dan Versace dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,433,062.00.

Susulan itu, dua kertas siasatan dibuka di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kesemua orang kena tahan ditahan bagi siasatan lanjut.

Tambahnya, KPDN WPKL turut menasihatkan pengguna agar tidak menyokong pembelian barangan tiruan serta memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak melanggar undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |