GEORGE TOWN – Pelabur Amerika Syarikat (AS) menunjukkan keterujaan tinggi terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART) yang diyakini mampu memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Menurut Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, perjanjian perdagangan itu bukan sahaja memberikan peluang eksport bernilai lebih AS$6 bilion kepada syarikat Malaysia, malah memberi manfaat besar kepada rakyat termasuk di luar bandar.
“Pelabur AS sangat teruja. Perjanjian ART ini sebagai isyarat bahawa kedua-dua negara mahu mempererat hubungan ekonomi.
“Ia juga menunjukkan komitmen politik dan ekonomi jangka panjang kedua-dua negara, meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar dan sesi pertemuan dengan media di Penang Institute di sini, hari ini.
Malaysia dan AS menandatangani perjanjian ART semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean tahun lalu.
Di bawah perjanjian itu, AS meletakkan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia dengan beberapa produk menikmati tarif sifar menerusi senarai perdagangan rakan sejajar.
Sebagai balasan, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran keutamaan kepada eksport industri AS serta tidak mengenakan larangan atau kuota ke atas eksport mineral kritikal atau nadir bumi ke AS
Kagan berkata, ART bukan sekadar mengenai butiran teknikal perjanjian, tetapi menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia dan AS bersedia menjalin integrasi ekonomi jangka panjang.
“ART dijangka dapat memberi keyakinan tambahan kepada syarikat-syarikat Amerika yang ingin melabur di Malaysia,” katanya.
Tambahnya, hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan AS telah memberi manfaat kepada pelbagai sektor bukan sahaja memacu pertumbuhan tetapi juga memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“ART dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan, dan mengukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pulau Pinang terus memainkan peranan penting sebagai hab utama pelaburan AS khususnya dalam sektor semikonduktor, elektronik dan peralatan perubatan.
“Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia malah negeri ini lebih daripada sekadar pemain utama sektor semikonduktor.
“Sektor peralatan perubatan dan pembuatan lain turut berkembang pesat di Pulau Pinang, dengan tumpuan terhadap kesihatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4

















































