PETALING JAYA – “Sekarang apabila awak sudah tiada, barulah orang ramai bercakap tentang kebaikan, pengorbanan dan amal baik awak.”
Demikianlah luahan Datin Seri Zizie Ezette A. Samad yang merupakan balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin menerusi hantaran di Insta Storynya hari ini.
Beliau berkata, insan tersayang di dalam hidupnya itu disifatkan sebagai seorang yang sangat berhati mulia dan tidak pernah mementingkan diri.
“Terima kasih untuk 16 tahun bersama. Awak bekerja begitu kuat untuk semua orang dan sentiasa memberikan yang terbaik.
“Awak berjuang untuk orang di sekeliling, bukan untuk diri sendiri. Awak benar-benar tidak mementingkan diri,” tulisnya.
Dalam luahan yang sama, Zizie turut mengimbau nasihat penuh berbekas yang sering diulang Allahyarham tentang keikhlasan dalam bersedekah.
“Saya tidak akan lupakan nasihat awak. ‘Jika tangan kanan memberi kepada seseorang, tangan kiri pun tidak sepatutnya tahu.’
“Sentiasalah sembunyikan sedekah. Biarkan kebaikan kita hanya diketahui oleh Allah,” kongsinya sambil menyatakan Allahyarham juga tidak pernah mengejar pengiktirafan, sebaliknya melakukan segala kebaikan dari hati yang tulus.
Pelakon wanita itu turut berjanji akan terus membawa dan memelihara segala hikmah serta nasihat yang pernah dicurahkan kepadanya, sebelum disampaikan pula kepada anak-anak mereka.
“Terima kasih untuk segala hikmah dan ilmu yang awak curahkan kepada saya. Saya akan bawa, hargai dan sampaikan kepada anak-anak kita, supaya sebahagian daripada diri awak terus hidup bersama kami,” tulisnya.
Coretan itu diakhiri dengan doa penuh harapan agar Allah mengampunkan dosa arwah serta melimpahkan rahmat ke atasnya.
“Semoga Allah mengampunkanmu, melimpahkan rahmat-Nya ke atasmu dan mengurniakanmu syurga,” katanya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan serta Pengerusi Barisan Nasional Sabah, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi Jumaat lalu selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan serius pada paru-paru.
Selepas disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu selepas solat Jumaat, jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas dan selamat dikebumikan sekitar pukul 2.25 petang hari yang sama.
Allahyarham meninggalkan dua isteri serta tujuh orang anak. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
4

















































