DI kawasan perumahan saya terdapat sebahagian penghuni yang enggan membayar yuran penyelenggaraan rumah dengan alasan bahawa bayaran ini tidak wajib untuk dibayar. Mohon pencerahan hukum, sejauh manakah yuran penyelenggaraan rumah ini dihukumkan sebagai wajib untuk dibayar?
JAWAPAN: Yuran penyelenggaraan (maintenance fee) dalam konteks perumahan merujuk kepada bayaran yang dikenakan kepada pemilik atau penghuni bagi membiayai pengurusan dan penyelenggaraan kawasan kediaman secara berterusan. Yuran ini meliputi kos penjagaan kemudahan bersama seperti kawasan awam, sistem keselamatan, kebersihan, landskap serta pembaikan infrastruktur yang menyokong keselesaan dan keselamatan penduduk. Pelaksanaan kutipan yuran penyelenggaraan yang teratur dan telus amat penting bagi memastikan persekitaran perumahan sentiasa terjaga, seterusnya mengekalkan nilai hartanah dan keharmonian komuniti.
Secara asasnya, segala kutipan yuran daripada harta milik orang lain adalah dilarang melainkan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang sah, persetujuan jelas daripada pihak berkepentingan serta dilaksanakan oleh individu atau badan diberi kuasa mengikut undang-undang.
Segala bentuk pungutan harta yang tidak mematuhi syarat ditetapkan adalah dikategorikan sebagai pemungutan harta secara batil seperti firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (Surah al-Nisa’, 29)
Dalam konteks kutipan yuran penyelenggaraan bagi sesebuah kawasan kediaman, kutipan yuran ini biasanya diuruskan oleh satu badan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Bersama (Joint Management Body-JMB) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara bangunan serta harta secara bersama, yang ditubuhkan di bawah Seksyen 17, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Seksyen 21 daripada Akta berkenaan turut memperuntukkan beberapa kuasa bagi JMB dalam menguruskan hartanah dimiliki dalam bentuk strata. Antaranya adalah untuk menentukan dan mengenakan caj yuran penyelenggaraan yang perlu didepositkan ke dalam akaun penyenggaraan bagi tujuan penyenggaraan dan pengurusan yang perlu bagi sesebuah hartanah tersebut.
Yuran penyelenggaraan tersebut merupakan kewajipan yang perlu diselesaikan oleh pemilik kepada harta tersebut, seperti diperuntukkan oleh Seksyen 24(1)(a), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Berdasarkan kepada penjelasan mengenai yuran penyelenggaraan ini, maka dirumuskan bahawa yuran penyelenggaraan bagi sesebuah kawasan perumahan adalah dihukumkan sebagai harus dikutip oleh pihak JMB dan wajib untuk dibayar oleh pemilik kepada harta tersebut sekiranya proses kutipan yuran dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ada.
Hal ini demikian kerana kita diwajibkan untuk mematuhi sesuatu perjanjian yang telah dipersetujui berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (Surah al-Ma’idah, 1)
Keengganan membayar yuran penyelenggaraan rumah kediaman yang dimiliki dalam bentuk strata boleh menyebabkan berlakunya kezaliman kepada banyak pihak.
Hal ini kerana yuran tersebut merupakan sumber utama bagi memastikan kemudahan bersama seperti keselamatan, kebersihan, penyelenggaraan lif, lampu dan infrastruktur asas dapat berfungsi dengan baik.

17 hours ago
5

















































