MELAKA – Rakaman tular pergaduhan antara seorang lelaki dan pengawal keselamatan di pekarangan Masjid Selat Melaka di sini semalam berpunca daripada teguran terhadap isterinya yang tidak memakai tudung.
Dalam klip video berdurasi satu minit sembilan saat itu, kedua-dua individu tersebut dilihat bertumbuk dan menjerit sebelum dileraikan oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 43 tahun itu pada pukul 4.13 petang semalam.
Katanya, berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku ketika pasangan dari Kuala Lumpur itu mahu menunaikan solat zuhur di masjid berkenaan, namun kenderaan mereka ditahan di pintu masuk kerana isteri suspek tidak memakai tudung.
“Pengawal keselamatan menegur pasangan itu kerana wanita tersebut tidak memakai tudung dan memberitahu ia perlu dipakai sekiranya ingin memasuki kawasan masjid, namun pengadu mendakwa isterinya menutup kepala menggunakan sweater.
“Pengawal keselamatan kemudian kembali ke balai pengawal untuk memaklumkan kejadian kepada penyelianya. Pengadu keluar dari kereta dan menghentak bumbung kenderaannya sebanyak tiga kali sambil berkata ‘aku hendak sembahyang ni’,” katanya.
Jelasnya, susulan provokasi itu, berlaku pertengkaran mulut sebelum insiden tumbuk dan tendang di pintu masuk masjid berkenaan.
“Pengawal keselamatan kemudian menghampiri pengadu untuk menegur tindakannya, namun dia didakwa ditumbuk sebelum membalas dengan menendang lelaki tersebut.
“Pegawai penyiasat yang tiba di lokasi mendapati adalah menjadi tugas pengawal keselamatan dan amalan biasa bagi pengunjung untuk mematuhi etika pemakaian dan menutup aurat,” katanya.
Tambahnya, pengadu bagaimanapun menarik laporan polis kerana perselisihan faham tersebut diselesaikan dengan cara yang baik. – KOSMO! ONLINE