Bersalaman sebelum lafaz, Edika, isteri sah bercerai talak satu

20 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Selepas 22 tahun bergelar suami isteri, ikatan perkahwinan antara pelakon Edika Yusof dan isterinya, Nor Hidayah Yusri akhirnya terlerai apabila pasangan itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Ia apabila Edika, 58, atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abd. Majid kekal setuju melafazkan cerai talak dan pada masa sama mahkamah membenarkan permohonan Nor Hidayah selaku plaintif untuk bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Hakim Syarie: Adakah kamu bersetuju melepaskan plaintif (Nor Hidayah) atau sebaliknya?
Edika: Saya setuju melepaskan (melafazkan talak pada Nor Hidayah).

Lafaz cerai itu kemudian dibuat oleh Edika pada pukul 10.42 pagi.

Hakim Syarie Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Nor Hidayah, 48, menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian mereka.

Semasa prosiding, Edika tidak diwakili peguam, manakala isterinya diwakili peguam syarie Mohd. Yazid Hazim.

Pada prosiding sebelum ini, lafaz cerai yang sepatutnya dibuat Edika terhadap Nor Hidayah ditangguhkan ke tarikh hari ini disebabkan wanita itu dalam keadaan tidak suci atau haid.

Edika berkata permintaan isterinya terpaksa dipenuhi selepas Nor Hidayah tetap berkeras mahu berpisah selain enggan mendapatkan bantuan kaunseling serta pendamai.

Sebelum ini, Nor Hidayah memfailkan perceraian pada pertengahan Februari lalu di mahkamah sama atas alasan tiada lagi persefahaman.

Sebelum ini, pasangan terbabit menarik perhatian ramai apabila pelakon filem Maria Mariana itu didapati sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.

Hasil perkongsian hidup dua dekad pasangan ini sejak 2003, Edika dan Nor Hidayah bersama dengan tiga cahaya mata termasuk seorang anak daripada perkahwinan terdahulu wanita terbabit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |