JENTERA serangan Harimau Malaya dijangka lebih tajam jika pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva berjaya dinaturalisasikan sebagai rakyat Malaysia secara rasmi pada tahun depan.
Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin menyifatkan Bergson memiliki kualiti yang luar biasa selepas berjaya memecahkan rekod dengan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman bagi saingan Liga Super baru-baru ini.
Menurut Indra Putra, prestasi Bergson pastinya ditagih oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang diketuai oleh Peter Cklamovski dalam usaha memburu slot automatik ke saingan Piala Asia 2027 nanti.
“Tahniah kepada Bergson kerana berjaya pecahkan rekod saya (penjaring terbanyak Liga Super sebelum ini). Apabila kita dengar dia bakal dinaturalisasikan, sudah tentu ia perkara yang positif kerana kita perlukan penyerang yang tajam.
“Secara peribadi, kita masih lagi kekurangan penyerang tempatan yang tajam dan mungkin langkah menaturalisasikan Bergson boleh dianggap sangat baik,” katanya kepada Kosmo!.
Sebelum ini, nama Bergson antara yang disebut pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim untuk diserapkan sebagai pemain naturalisasi baharu selain rakan sepasukannya dalam skuad Harimau Selatan, Manuel Hidalgo.
Penyerang prolifik kelahiran Brazil itu telah mencipta rekod baharu Liga Super musim lalu apabila meledak 31 gol semusim memecahkan rekod 106 jaringan yang dilakukan Indra Putra dengan mencetak 109 gol setakat ini.
Bergson yang kini berusia 34 tahun telah menyertai JDT secara pinjaman pada 2 Mac 2021 daripada kelab Brazil, Fortaleza sebelum ditandatangani secara tetap selepas mempamerkan prestasi yang konsisten bersama Harimau Selatan.
Bergson yang pernah menyarung jersi skuad Brazil bawah 20 (B-20) pernah mewakili beberapa kelab ternama seperti Gremio, Suwon Samsung Bluewings dan Athletico Paranaense.

7 hours ago
3

















































