GEORGE TOWN – Umat Islam terutama individu bekerjaya lebih selesa memilih menyediakan masakan sendiri di rumah daripada membeli juadah berbuka sepanjang Ramadan kali ini.
Masing-masing berpendapat suasana Ramadan akan bertambah meriah sekiranya dapat menikmati air tangan isteri atau suami mahupun ibu tercinta.
Seorang eksekutif syarikat swasta, Imran Hilmy, 35, berkata, menjadi satu kepuasan untuk mereka sekeluarga apabila dapat menyediakan sendiri juadah berbuka di rumah sepanjang Ramadan daripada membazirkan wang membeli makanan di luar.
Bapa kepada seorang anak berusia lapan tahun itu berkata, dia dan isteri akan sedaya upaya mencari ruang untuk menyiapkan dua atau tiga jenis masakan untuk iftar.
“Kami sudah buat perancangan awal seminggu sebelum Ramadan dengan menyenaraikan menu masakan setiap hari selama sebulan. Tahun ini, kami cuba mencipta kelainan (menyediakan masakan sendiri) dan cuba elak berbuka di luar.
“Ia lebih puas dan menjimatkan. Sebelum ini, memang kami akan memasak sendiri tetapi biasanya pada hujung minggu sahaja,” katanya di sini semalam.
Seorang eksekutif pemasaran, Shariffah Ainun Che Mat Din, 43, pula berkata, dia lebih selesa menyediakan sendiri juadah berbuka kerana lebih mementingkan kualiti makanan dan kesihatan anak-anak sepanjang Ramadan.
“Selain dapat menjimatkan wang, sudah tentu makanan yang dimasak sendiri dapat bertahan sehingga sahur selain boleh makan berulang kali.
“Malah, memasak sendiri juga dapat elak berlaku keracunan makanan atau masalah kesihatan lain pada Ramadan,” ujarnya.
Pengurus syarikat hartanah, Hamizah Muhammad, 55, memberitahu, menjadi satu kepuasan dia dan keluarga apabila menikmati masakan air tangan sendiri setiap kali Ramadan.
“Jika beli di luar ia sekadar syarat hendak hilang rasa lapar, kepuasan itu tiada. Paling penting, anak serta menantu berkumpul menikmati juadah berbuka bersama-sama,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE