‘Belum terfikir buat konsert, saya takut’

1 day ago 5

KENDATIPUN telah lebih tiga dekad mewarnai industri seni suara tanah air, nama Fauziah Latiff kekal utuh. Pernah menyentuh hati jutaan peminat, Fauziah bukan sekadar penyanyi bersuara lembut, bahkan pelakon berjiwa kental.

Namun, buat generasi Z yang dibesarkan dengan lagu-lagu TikTok dan rentak EDM, dia mungkin hanya sebuah nama dalam buku sejarah.

Apatah lagi, kelibatnya dalam media sosial juga ibarat purnama bersembunyi di balik awan.

Pun begitu, dengan deretan lagu malar segar yang sentiasa membasahi bibir peminat sebayanya, sudah pasti mereka menantikan sesuatu seperti konsert berskala besar daripada wanita tinggi lampai itu.

Tidak menafikan, pemilik nama sebenar Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff itu berkata, saban tahun, ada sahaja tawaran bertali arus datang dari penganjur konsert yang mahu melihat dia kembali berdiri megah di pentas gah.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 54 tahun itu masih memilih untuk bersabar, meskipun kerinduan peminat terhadap persembahan bersifat intim dan nostalgia makin membuak-buak.

“Sejujurnya, hampir setiap tahun ada sahaja syarikat penganjur beri tawaran untuk mengadakan konsert. Tapi saya takut, belum lagi terfikir mahu adakan konsert.

“Saya maklum bahawa untuk konsert sebegitu perlu persediaan rapi dan ambil masa mungkin tiga hingga enam bulan. Kalau ikut pengalaman, saya tahu semua itu bukan mudah.

“Saya juga ambil serius dalam setiap perkara dan ini bukan benda main-main,” katanya kepada HibGlam.

MENGAKUI selektif, Fauziah hanya menjayakan drama satu tahun sekali sahaja kerana batasan waktu daripada pelbagai aspek seperti perniagaan dan menjaga ibu tercinta.

Tambah pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu, dia juga sedar dengan hasrat peminat yang sudah lama menantikan karya terbaharu daripadanya

Malah dia terbuka untuk berkolaborasi dengan penyanyi lain sekiranya itu dapat membahagiakan pemuja bakatnya.

“Saya terbuka untuk berkolaborasi. Jika itu dapat memberi sesuatu kepada peminat, mengapa tidak? Itu yang saya mahukan.

“Untuk lagu baharu, saya masih lagi menanti sebuah karya yang bagus. Sebelum ini pernah cakap nak rakam lagu tetapi belum ada rezeki ke arah itu,” ujarnya.

Paling penting kata pemenang Anugerah Juara Lagu kelapan (AJL8) itu, dia enggan hanya muncul sekadar melepaskan batuk di tangga.

Apa-apa jua karya seni, baik lagu atau drama, harus ada jiwa serta nilai dan maka sebab itulah dia amat selektif dalam menerima naskhah lakonan.

“Ada juga tawaran yang saya tolak mungkin disebabkan masa kurang sesuai. Keutamaan saya sekarang adalah menjaga ibu di rumah.

“Kebiasaannya memang setahun hanya satu drama. Setiap tawaran adalah tanggungjawab dan saya perlu memberi tumpuan penuh,” jelasnya.

Mengulas perkembangan terkini, ibu kepada dua anak itu bakal muncul dalam telefilem berjudul Srikandi dengan membawakan watak menyayat hati sebagai Bonda Sultanah yang kehilangan putera tunggalnya, Sultan Zainal Abidin.

Drama adaptasi puisi Siti Zubaidah bawah arahan Wan Mohd. Afzam itu bakal menemui penonton saluran TV1 sempena Hari Kebangsaan nanti.

Barisan pelakon turut diserikan dengan kehadiran Farali Khan, Amalina Arham, Datuk Fauziah Nawi, Catriona Ross, Khatijah Tan dan Fendy Bakry. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |