Belagu 2 Album Terbaik AIM24, Aina bolot 4 trofi utama

3 hours ago 3

GENTING HIGHLANDS – Terus membuktikan keunggulan, penyanyi Dayang Nurfaizah membawa pulang wang tunai RM200,000 peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) selepas album Belagu 2 dinobatkan sebagai Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) di sini, hari ini.

Kemenangan album yang diterbitkan Aubrey Suwito itu sekali gus mengetepikan empat finalis lain termasuk album terbaharunya iaitu Janji, Imaji (AIna Abdul), Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul) dan SITISM (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Album Belagu 2 turut membawa pulang trofi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa).

Menurut Aubrey, kemenangan tersebut tidak pernah menjadi sasarannya ditambah pula persaingan juga sengit.

“Lagu-lagu tradisional dalam Belagu 2 sangat dekat di hati, ditambah pula saya dibesarkan di Melaka.

“Kemenangan hari ini buat saya bangga sebab dapat terbitkan lagu-lagu dalam album Belagu 2.

“Sangat berterima kasih untuk seluruh pasukan album ini. Sebenarnya kami tak pernah sasarkan sebarang kemenangan tetapi ini adalah rezeki,” katanya.

Dayang bagaimanapun tidak hadir pada malam kemuncak AIM24 hari ini.

Kategori ‘panas’ iaitu Vokal Wanita Terbaik pula dimenangi Aina Abdul menewaskan empat lagi calon akhir iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Marsha Milan, Liza Hanim dan Ernie Zakri.

“Terima kasih AIM dan saya tujukan anugerah ini kepada semua penyanyi yang tercalon dalam kategori ini terutama Siti Nurhaliza.

“Kalau saya tak menonton beliau di televisyen, saya mungkin tidak akan jadi penyanyi juga,” katanya.

Malam ini, Aina turut membawa pulang tiga lagi trofi Lagu Pop Terbaik, Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.

Sementara, penyanyi Ryenald Guntabid pula diumumkan memenangi kategori Vokal Lelaki Terbaik AIM24.

Ryenald mengetepikan empat lagi penyanyi iaitu Akim Ahmad, Amir Masdi, Hafiz Suip dan Hazama yang turut tercalon dalam kategori sama.

Dalam masa sama, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir turut menang besar apabila membawa pulang empat trofi Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik dan Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi Di TikTok.

Penyanyi Daiyan Trisha pula melakar sejarah sendiri apabila membawa pulang trofi Lagu Inggeris Terbaik menerusi lagu My Home Is In Your Arms yang turut membawa pulang wang tunai RM50,000.

Bagi pemenang kategori Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik masing-masing menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu menerusi peruntukan DKK daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCV.

AIM24 hari ini dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Menariknya, AIM24 diserikan dengan kehadiran penghibur serantau, dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

AIM24 menerima 682 pencalonan berdasarkan karya-karya muzik yang diterbitkan mengikut tempoh kelayakan dari 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Penjurian diadili pengamal industri muzik tempatan yang berkelayakan serta berpengalaman luas merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi, penerbit, penggubah lagu, guru vokal, pengarah video, jurutera rakaman, jurufoto, pereka grafik dan perunding imej.

Penjurian dikemudikan pengarah muzik tersohor, Datuk Haji Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri. – KOSMO! ONLINE

Senarai penuh pemenang AIM24:

Album Terbaik: Belagu 2 (Dayang Nurfaizah)

Vokal Wanita Terbaik: Jangan Mati Rasa Itu– Aina Abdul

Vokal Lelaki Terbaik: Lumanggad Oku Dika – Ryenald Guntabid

Lagu Terbaik: Jangan Mati Rasa Itu – Aina Abdul

Anugerah Sri Wirama: Datuk Seri Siti Nurhaliza

Vokal Kumpulan Terbaik: Inteam

Rakaman Album Terbaik: Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul)

Rakaman Lagu Terbaik: Aura (Ernie Zakri)

Artis Baharu Terbaik: Ryenald Guntabid

Kugiran Terbaik: Mafidz

Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik: Campak Bintang – Faizal Tahir dan Datuk M Nasir

Muzik Video Terbaik: Vodoo (KRU)

Runut Bunyi Terbaik Di Dalam Filem atau Drama: Hasrat (Amir Jahari) – Imaginur

Lagu Rock Terbaik: Saksama (Akim & The Majistret)

Lagu Pop Terbaik: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)

Lagu Rap/Hip Hop Terbaik: Dannok (Salammusik dan Namewee)

Lagu Pop Elektronik Terbaik: Angkat (Mimifly)

Lagu Inggeris Terbaik: My Home Is In Your Arms (Daiyan Trisha)

Lagu Cina Tempatan Terbaik: Divorce In Ghana (Firdhaus)

Lagu India Tempatan Terbaik: Pothum (Sheezay, Hashmita)

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara: Bertengkar Manis (Rossa dan Barsena Bestandhi)

Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik: Masing Masing (Ernie Zakri dan Ade Govinda)

Lagu Nasyid Terbaik: Biar Satu Dunia Tahu (Faizal Tahir dan Mirwana)

Lagu Etnik Terbaik: Cinta Setandan Pisang (Den Manjo dan Eda Ezrin)

Lagu Perpaduan Terbaik: Bendera (Faizal Tahir)

Lagu Tradisional Terbaik: Canda Citra Cinta (Hazra)

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa): Rindu Menyapa – Aubrey Suwito (Dayang Nurfaizah).

Kategori Kulit Single/Album Terbaik: Iman (Irfan Ramos)

Video Muzik Rasmi Malaysia Dengan Tontonan Tertinggi Di Pelantar Video Utama: Sayunk I Love You (Chombi)

Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi Di TikTok: Santai – Faizal Tahir

Lagu Paling Tinggi Distrim: Masing Masing – Ernie Zakri, Ade Govinda

Read Entire Article
Pertanian | | | |