PUTRAJAYA – Seorang bekas penebar roti canai dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anggota polis bantuan wanita di sebuah pangsapuri Damansara Damai, enam tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan Mohamad Farreyl Haikal Abdullah, 28, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terdahulu.
Sebelum ini, di Mahkamah Tinggi Shah Alam perayu dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah yang mana hukuman itu dijatuhkan pada 25 Jun 2024.
Ketika membaca penghakiman, Hakim Azman berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam kes pendakwaan itu.
“Ia dimana gagal Mahkamah Tinggi mengambil kira laporan kimia (P46) yang membuktikan kehadiran seorang lelaki lain yang tidak dapat dikenal pasti identitinya dalam rumah tersebut selain wujud kesan Asid Deoksiribonukleik (DNA) orang lain pada puntung rokok, seluar dalam dan bantal dalam bilik mangsa yang memungkinkan kehadiran pihak lain dalam bilik wanita itu,” kata Hakim Azman.
Hakim Azman turut berkata, tiada keterangan yang dikemukakan bagi menyokong hujahan pihak pendakwaan yang bersandarkan kepada prinsip orang terakhir dilihat di tempat kejadian (last seen principle) bagi mendakwa perayu.
“Dengan ini mahkamah membenarkan rayuan (perayu), sabitan dan hukuman diketepikan dan dibebaskan,” kata hakim itu lagi.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Farreyl Haikal didakwa membunuh Nor Aisyah Abdullah, 25, (umur waktu kejadian) di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, Petaling Jaya antara pukul 2 pagi pada 17 Oktober dan 12.45 tengah malam 18 Oktober 2019.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan pemenjaraan 30 hingga 40 tahun dan 12 sebatan.
Terdahulu peguam Fahri Azzat yang mewakili perayu berhujah bagi mengetepikan sabitan dan hukuman itu berkata Mahkamah Tinggi telah gagal mempertimbangkan pengakuan pegawai penyiasat bahawa beliau tidak pernah mempertimbangkan kandungan laporan kimia sepanjang penyiasatannya, sekali gus menunjukkan penyiasatan yang tidak mencukupi.
“Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan kandungan laporan ahli kimia, serta keterangan lisan dan bertulis yang mengesahkan wujud dua DNA yang tidak diketahui dan ini menafikan bahawa perayu mempunyai akses eksklusif ke rumah tersebut,” kata peguam itu yang turut bersama dengan seorang lagi peguam Iqbal Harith Liang.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah yang bertindak sebagai responden berhujah terdapat DNA perayu pada puntung rokok yang diambil pihak forensik polis seperti mana laporan kimia (P46).
“Penemuan DNA perayu di dalam rumah tersebut adalah menjadi bukti kukuh bahawa perayu ada bersama si mati sebelum kematiannya. Bertunjangkan kepada perkara-perkara di atas, pihak responden berhujah bahawa elemen-elemen ini telah berjaya dibuktikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6





![[VIDEO] Dua kenderaan halang ambulans bawa pesakit disiasat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-09-at-9.00.04-PM.jpeg)











































