ALOR SETAR – Setelah sekian lama memendam rasa, bekas pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag akhirnya meluahkan rasa kecewa apabila hampir dua tahun menanti tunggakan gaji mencecah RM300,000.
Kata Victor, luahan yang dilakukannya itu bukan untuk mencetuskan kontroversi, namun sedar keputusannya mendiamkan diri selama ini tidak membawa sebarang makna kepada dirinya mahupun bekas pemain pasukan itu.
“Daripada 18 bulan berkhidmat, saya cuma dapat gaji untuk lebih kurang dua bulan sahaja. Baki 16 bulan sampai hari ini tak ada apa-apa,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), di sini hari ini.
Beliau yang kini mengendalikan Kedah FA dalam saingan Liga A1 Semi-Pro berkata, tuntutan telah dibuat mengikut saluran yang betul termasuk menghubungi pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.
“Pada April lalu saya mesej Tan Sri, minta tolong jasa baiknya selesaikan sedikit sebanyak tapi tak ada apa-apa balasan sampai hari ini. Seterusnya pada 9 November lalu saya hantar emel pula kepadanya dan bagi tempoh sebulan untuk bertindak, tetap tak ada apa-apa maklum balas,” ujarnya.
Katanya, perkara itu memberi tekanan besar kepada dirinya dan keluarga kerana terpaksa meminjam daripada adik-beradik untuk meneruskan kehidupan.
Malah, beliau juga memaklumkan terpaksa mengeluarkan semua simpanan termasuk menggunakan akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ketika bersama KDA FC, saya perlu berulang-alik dari Sungai Petani ke Alor Setar, tampung makan minum, rumah, pendidikan anak, semua guna duit simpanan dan bila tak mampu bayar balik hutang saudara, kita rasa malu. Saya diam hampir setahun lebih, sampai bila lagi perlu tunggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4

![[VIDEO] ‘Lumpur sampai dua meter, lima orang pun tak mampu angkat kereta’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/BANJIR-ACEH.jpeg)















































