KURANG kerjasama daripada jurulatih-jurulatih tempatan berhubung Program Perpindahan Bakat yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) agak mengejutkan pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley.
Beasley berkata, sikap sebahagian besar jurulatih tempatan yang lebih mementingkan projek sendiri menyebabkan urusan pencarian bakat baharu dalam sukan berbasikal trek sedikit terganggu.
Justeru, beliau menggesa jurulatih-jurulatih supaya memberi peluang kepada barisan atlet untuk membuat keputusan bagi memilih sukan-sukan yang bersesuaian dengan kemampuan diri masing-masing.
“Antara masalah yang kami hadapi adalah ada ramai jurulatih yang lebih mementingkan projek mereka sendiri. Sebagai contoh, kami pergi ke Johor sebelum ini untuk menguji 160 atlet yang mendaftar, tetapi yang hadir hanya 16 orang.
“Keadaan itu berlaku kerana sebahagian yang lain tidak dibenarkan oleh jurulatih mereka. Ini boleh mengganggu perkembangan sukan, jadi mengapa tidak beri peluang kepada atlet untuk mencuba,” katanya.
Sebagai rekod, program Perpindahan Bakat itu dilancarkan oleh MSN Mac tahun lalu bertujuan memberi peluang kepada atlet-atlet untuk mencuba sukan lain selain mempercepatkan proses pencarian bakat baharu.
Antara sukan yang dipertimbangkan untuk program tersebut adalah berbasikal, terjun dan olahraga, melibatkan atlet-atlet dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) serta Sekolah Sukan Negeri (SSN).
“Barisan kejurulatih sepatutnya melihat perkara ini dengan gambaran lebih besar kerana ini adalah usaha untuk melahirkan atlet kebangsaan. Mereka hanya melihat apa yang diperlukan untuk projek kecil mereka sendiri.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana mereka ada sasaran untuk dicapai, jadi ia memerlukan barisan atlet terbaik,” ujar jurulatih dari Australia itu.