HULU SELANGOR – Sepasang pasangan meluahkan rasa syukur apabila permohonan pendaftaran kelahiran anak mereka yang berusia setahun empat bulan diluluskan dalam tempoh 24 jam.
Ibu kanak-kanak itu, Nur Hakika Ismail, 24, berkata, perkara itu amat bermakna buat keluarganya yang selama ini berdepan pelbagai kesulitan akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, proses tersebut sangat rumit apabila dia sebelum ini tidak memiliki rekod berpunca kegagalan ibu bapanya mendaftarkan kelahirannya dan enam beradik lain di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Ketiadaan dokumen pengenalan itu menyebabkan saya dan adik-beradik lain tidak bersekolah. Saya tidak mahu anak saya melalui kehidupan susah seperti yang saya alami.
“Alhamdulillah, sekarang saya boleh uruskan masa depan anak saya. Terima kasih kepada semua yang sudi membantu kami,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut hadir ke kediaman pasangan itu di Bandar Sungai Buaya, di sini hari ini, bagi menyampaikan sijil kelahiran kepada Ahmad Yusuf Alfarizqi Sallehuddin.
Jumaat lalu, Nur Hakika dan enam adik-beradiknya yang berusia antara 17 hingga 30 tahun akhirnya memperoleh MyKad selepas permohonan Daftar Lewat Sijil Kelahiran dan Daftar Lewat Kad Pengenalan diluluskan, Disember tahun lalu.
Mengenai pendaftaran kelahiran anaknya, Nur Hakika berkata, permohonan Daftar Lewat Sijil Kelahiran Ahmad Yusuf Alfarizqi Sallehuddin dibuat semalam.
“Alhamdulillah, semalam kami kemukakan permohonan di JPN dan hari ini anak kami sudah ada sijil kelahiran,” ujarnya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, kes itu menjadi pengajaran kepada masyarakat tentang pentingnya mendaftarkan perkahwinan dan kelahiran seperti diperuntukkan di bawah undang-undang negara.
“Pendaftaran perkahwinan adalah keperluan penting supaya anak yang dilahirkan mudah memperoleh dokumen pengenalan diri.
“Di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, sesiapa sahaja yang mengetahui tentang kelahiran, bukan hanya ibu bapa, bertanggungjawab untuk membuat pendaftaran,” katanya.
Beliau berkata, melalui proses pendaftaran lewat yang disediakan JPN, status perkahwinan pasangan berkenaan berjaya diperbetulkan dan anak-anak mereka kini diiktiraf sebagai anak sah taraf serta memiliki MyKad. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
5

















































