Bawa pulang RM5,000 jinakkan keli seberat 12.180 kg

2 days ago 7

PETALING JAYA – Peserta dari Cheras, Kuala Lumpur, Md. Darapi Awang, 55, berjaya membawa pulang RM5,000 selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Cabaran Joran Kuala Lumpur di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Dia berjaya menaikkan ikan keli seberat 12.180 kilogram (kg) menggunakan umpan cacing pada cabaran yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000.

Menurut Md. Darapi, dia mengambil masa masa lebih enam sebelum dapat menjinakkan ikan tersebut.

Katanya, tuah menyebelahinya pada kali ini selepas dua tahun mengambil bahagian dalam pertandingan memancing.

“Saya tidak sangka menang, sedangkan kehadirannya hanya suka-suka untuk sertai pertandingan ini, Alhamdulillah,” katanya.

Hadiah pemenang disempurnakan Ketua Unit Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Eswan Ishak.

Pertandingan anjuran DBKL dengan kerjasama JoranKL merupakan salah satu acara yang disediakan kepada warga kota sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’ menyaksikan sebanyak lebih 500 ekor ikan pelbagai spesis berjaya dinaikkan peserta.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Nor Iman Mohd Adnan, 20, dari Kajang, Selangor apabila berjaya menaikkan ikan keli seberat 11.865 kg untuk menerima hadiah wang tunai RM2,000 manakala tempat ketiga menjadi milik Muhd Musrikin Aknan, 28, dari Klang, Selangor juga menaikkan keli seberat 11.862 kg menerima RM1,000.

Sementara itu, Cabaran Joran Kuala Lumpur itu disertai lebih 600 kaki pancing dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Pahang.

Majlis perasmian bagi pertandingan ini telah disempurnakan oleh Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |