Bawa adik tenangkan keadaan, Mercedes dirempuh adik ipar di Pantai Dalam

5 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Usaha seorang abang membawa adik perempuannya bagi menenangkan keadaan berakhir dengan kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.30 pagi dan laporan polis dibuat pada hari yang sama pada pukul 1.05 tengah hari.

Beliau berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Mercedes CLA250 yang dipandu lelaki berusia 28 tahun bersama adik perempuannya berusia 26 tahun serta sebuah kenderaan jenis Proton X50 yang dipandu seorang lelaki.
“Siasatan awal mendapati ketika pengadu sedang memandu untuk membawa adik perempuannya dalam proses menenangkan keadaan, pemandu Proton X50 yang juga adik iparnya dipercayai meminta pengadu memberhentikan kenderaan sebelum merempuh bahagian belakang Mercedes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, pelanggaran itu menyebabkan kerosakan pada bahagian belakang Mercedes berkenaan, namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mana-mana pihak.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Kaedah 10, Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Sehubungan itu, orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang guru wanita mendakwa dipukul suaminya sebelum bertindak menggunakan alasan mahu membuang sampah bagi menyelamatkan diri dalam kejadian di Salak Selatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilapor berkata, kejadian dipercayai berlaku di kediaman mangsa apabila suspek didakwa bertindak memukul isterinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |