Batik tenun Diraja Pahang warnai Makan Malam Gala ASEAN

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Lebih 700 tetamu termasuk pemimpin negara antarabangsa dan blok serantau serta delegasi menghadiri Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Sekretariat Induk Logistik Asean 2025, Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin berkata, bagi menonjolkan budaya Malaysia, kesemua ketua negara mengenakan busana batik tenun Diraja Pahang.

“Untuk majlis ini, kita telah sediakan sesuatu yang unik dimana semua ketua negara ASEAN dan pemimpin antarabangsa mengenakan busana yang dihasilkan oleh Penjara Bentong, Pahang.

“Tetamu-tetamu lain yang hadir pun kita galakkan untuk memakai batik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hidangan malam ini mengetengahkan cita rasa Malaysia dengan gabungan elemen fusion memandangkan tidak semua tetamu serasi dengan makanan tradisional.

“Secara keseluruhan, kita masih terapkan ciri ASEAN dengan menampilkan flora dan fauna selain mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026,” jelasnya.

Majlis yang bermula pukul 9 malam itu adalah bagi menghargai semua ketua negara dan delegasi yang hadir pada persidangan tersebut.

Pelbagai persembahan kebudayaan turut ditampilkan bagi menyerikan suasana malam gala dengan lebih 40 buah lagu daripada pelbagai negara ASEAN dimainkan secara nyanyian dan instrumental.

Mengulas lanjut, Raja Saifful Ridzuwan berkata, Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi bagaimanapun tidak menghadiri majlis terbabit berikutan telah pulang ke negara masing-masing atas urusan rasmi.

Selain itu, antara pemimpin yang telah berangkat pulang ialah Presiden Indonesia Prabowo Subianto selain Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang berlepas ke Jepun bagi melengkapkan jelajah Asia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |