Baru balik taklimat sekolah, ibu bapa ‘spam’ soalan sama di WhatsApp

17 hours ago 4

PETALING JAYA – “Baru sahaja selesai taklimat di sekolah, belum sempat kami tarik nafas, soalan sama sudah muncul dalam kumpulan WhatsApp kelas.”

Itu luahan beberapa guru yang mengakui semakin terbeban dengan sikap segelintir ibu bapa yang kerap mengajukan soalan berulang dalam kumpulan WhatsApp rasmi sekolah, sedangkan perkara tersebut telah diterangkan secara terperinci ketika sesi taklimat.

Menurut seorang guru, antara soalan paling kerap ditanya adalah perkara asas seperti waktu persekolahan, pemakaian baju sukan, hari persekolahan sesi pagi atau petang serta peraturan pemakaian lencana sekolah.

“Baru lepas taklimat, ibu bapa terus tanya dalam WhatsApp, ‘Anak saya sesi pagi ke petang?’, ‘Baju sukan pakai hari apa?’, ‘Lencana sekolah wajib jahit dekat tudung ke?’ Sedangkan semua itu baru sahaja diterangkan kurang sejam sebelum itu,” katanya menerusi luahan di Threads.

Lebih mengecewakan, katanya, soalan sama turut diajukan berulang kali walaupun telah dijawab oleh guru atau ibu bapa lain dalam kumpulan tersebut.

“Kadang-kadang selang lima minit sahaja, soalan sama ditanya semula oleh orang lain. Jelas mereka tidak membaca mesej terdahulu. Ini belum lagi bila sesi persekolahan bermula. Kalau tetapkan ‘admin only’, ibu bapa ‘spam’ mesej personal pula, penat melayan benda sama yang diterangkan. Membaca amalan mulia,” ujarnya.

Seorang lagi guru berkata, kumpulan WhatsApp yang diwujudkan bertujuan menyampaikan maklumat rasmi, bukannya menjadi ruang soal jawab tanpa henti bagi perkara remeh.

“Kami bukan tidak mahu jawab, tetapi bila soalan sama ditanya berkali-kali, ia memakan masa dan tenaga. Sedangkan maklumat itu sudah ada, cuma ibu bapa malas membaca,” katanya.

Tambahnya, ada guru yang terpaksa menutup notifikasi kumpulan selepas waktu sekolah kerana jumlah mesej terlalu banyak dan kebanyakannya berulang.

“Bayangkan satu kelas ada lebih 30 ibu bapa. Jika semua tanya perkara sama, memang penat. Kami juga ada keluarga dan urusan sendiri selepas waktu kerja,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa guru berharap ibu bapa lebih peka dan mengambil inisiatif membaca maklumat yang telah diberikan sebelum bertanya.

“Kami harap ibu bapa boleh luangkan sedikit masa membaca mesej atau rujuk semula nota taklimat. Kumpulan WhatsApp sepatutnya memudahkan komunikasi, bukan menambah tekanan kepada guru,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |