KLANG – Bantuan anak nelayan menjadi nafas baru keluarga yang berjuang menampung kos hidup dan pendidikan anak-anak.
Nelayan Orang Asli, Mala Shamsuddin, 40, tetap menggantung harapan tinggi terhadap dua anaknya berusia 11 dan 14 tahun dalam menjadikan pendidikan sebagai jalan keluar mengubah masa depan keluarganya.
Katanya, bantuan menerusi Program Madani Anak Nelayan ke Sekolah tersebut memberi sedikit kelegaan, sekali gus menyuntik semangat untuk terus memastikan anak-anaknya tidak tercicir dalam pelajaran.
“Syukur hari ini dapat bantuan RM100 dan nilai itu cukup bermakna buat keluarga nelayan seperti kami.
“Saya harap dua anak ini dapat masuk universiti dan tidak mahu anak-anak lalui kehidupan susah seperti saya. Kalau mereka berjaya dalam pelajaran, hidup mereka boleh berubah,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 100 anak nelayan menerima bantuan itu yang disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Selangor (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
Mala yang memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan sebagai nelayan di sekitar Pelabuhan Barat berkata, bantuan pendidikan yang diterima ketika ini lebih tersusun dan membantu berbanding sebelum ini.
Bagi nelayan pantai Kampung Delek, Md. Khamarul Zaman, 41, memaklumkan bantuan itu menjadi dorongan kepada anak-anak nelayan untuk terus cemerlang dalam pelajaran.
“Pendapatan saya sekitar RM1,500 sebulan, tetapi cuaca dan jualan hasil laut selalu jadi cabaran,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, bantuan itu kerjasama dengan Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) dalam memberikan kesedaran kepentingan pendidikan anak-anak nelayan bagi pembangunan negara.
“Berdasarkan rekod kita menunjukkan hampir 10 peratus nelayan tercicir pendidikan formal dan tidak mahu perkara itu terus berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 days ago
10











![[VIDEO] Jalan Gua Musang ‘buat hal’ 4 jam tidak gerak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/GUA-MUSANG-SESAK-TRAFIK.jpeg)




































