PETALING JAYA – Debaran menunggu saat akad nikah bertukar menjadi detik terpilu dan menyedihkan buat seorang wanita apabila bakal suaminya itu meninggal dunia lapan jam sebelum diijabkabulkan dalam kejadian di Sungai Dua, Pulau Pinang baru-baru ini.
Mohamad Faiz Md. Rozi, 34, disahkan menemui ajal ketika sedang tidur di dalam bilik rumahnya pada pukul 2.44 pagi Jumaat lalu.
Lebih memilukan, tarikh pemergian Allahyarham jatuh sehari selepas ulang tahun kelahirannya iaitu 18 Disember.
Mengimbau semula kejadian itu, tunang Allahyarham, Nor Izzati, 32, berkata, jiwanya seperti dirobek ketika berita duka tersebut dimaklumkan oleh kakak sulung Mohamad Faiz tidak lama selepas lelaki itu meninggal dunia.
Wanita dari Penaga, Pulau Pinang itu berkata, bakal suaminya itu ‘pergi’ dalam keadaan tidak disangka-sangka dan ketika semua persiapan perkahwinan sudah siap disediakan.
“Terkejut…rasa macam mimpi. Tak sangka debaran tunggu akad nikah bertukar jadi berita paling menyedihkan dalam hidup saya.
“Dia tidak mempunyai sebarang penyakit atau masalah kesihatan, namun pernah mengadu sakit kepala yang telah berlanjutan beberapa hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Nor Izzati, kali terakhir mereka bertemu ialah pada 5 Disember lalu ketika dia menemani arwah pergi menggunting rambut.
Tambahnya, ketika itu Mohamad Faiz ada merenungnya dalam tempoh yang lama dan dia tidak sangka ia merupakan pertemuan terakhir mereka.
“Arwah seorang lelaki yang baik, menjaga ikhtilat (percampuran atau pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram), solat dan rajin berpuasa sunat,” ujarnya.
Ujar Nor Izzati, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu Allahyarham sebelum mereka bernikah seperti dirancang termasuk hasrat membawakan kek dan hadiah hari lahir bakal suaminya itu.
“Majlis akad nikah yang dijadualkan pada pukul 10 pagi di Pejabat Agama Kepala Batas terpaksa dibatalkan serta-merta. Persiapan nikah sudah 100 peratus siap, malah arwah sendiri sempat menggosok baju nikah dan menyediakan mas kahwin berupa satu dinar.
“Persiapan majlis sanding kami pada Khamis ini pula sudah sekitar 50 peratus dengan sebahagian bayaran dibuat. Kami reda. Ada yang dapat pulangkan deposit, ada juga yang hangus. Semua itu tak penting berbanding kehilangan ini,” katanya.
Menurut Nor Izzati, pada masa sama dia bersyukur kerana diziarahi oleh ramai kenalan yang bersimpati dan memberinya semangat ketika dia berdepan dengan situasi sukar itu.
“Keluarga juga turut berduka seolah-olah kehilangan seorang menantu, bukan sekadar bakal menantu,” katanya.
Kata Nor Izzati, dia membuat perkongsian di media sosial dengan niat untuk menjelaskan keadaan sebenar agar tiada kekeliruan mengenai pembatalan majlis perkahwinan secara mengejut.
“Tidak disangka, coretan tersebut menjadi tular dan mengundang simpati ramai, termasuk doa daripada mereka yang tidak pernah mengenali arwah.
“Ramai yang meratap dan mendoakan arwah. Itu kekuatan untuk saya terus bertahan,” katanya.
Jenazah Allahyarham Faiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Pulau Pinang selepas solat Jumaat. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4








![[VIDEO] Saya sedia ‘rematch’ – Yusuf Azmi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-21-at-1.51.56-PM.jpeg)








































