SEPANG – Pelumba sensasi Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia melaungkan amaran kepada pencabarnya selepas menawan perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Malaysia dengan penuh bergaya tanpa dicabar hebat pelumba lain hari ini.
Bermula dari petak utama, juara dunia dua kali itu mempamerkan tunggangan sempurna di Sepang apabila mengekalkan kedudukan tersebut dari awal hingga ke garisan penamat dan dilihat bakal mempertahankan kemenangan diraihnya tahun lalu di Malaysia.
Di sebalik kemenangan itu, Bagnaia mendedahkan bahawa dia dan pasukannya masih bergelut untuk memahami prestasi jentera yang tidak konsisten dan mendedikasikan kejayaan itu buat seluruh pasukannya.
“Pasukan saya memang layak mendapat keputusan seperti ini kerana saya rasa bukan saya seorang yang bergelut mereka juga menghadapi kesukaran untuk memahami situasi sebenar.
“Keadaannya tidak jelas dan bukan sesuatu yang mudah untuk memahami segalanya. Seminggu lalu kami bergelut, semalam saya masih menghadapi sedikit kesukaran, tetapi hari ini saya kembali kompetitif. Jadi kami perlu mencari punca sebenar situasi ini kerana saya rasa tiada siapa sebelum ini pernah mengalami perkara seperti ini.
“Kami hanya perlu kekal fokus, memahami keadaan dan terus bekerja seperti yang kami lakukan sepanjang hujung minggu ini. Saya cuba sesuatu yang berbeza dan setakat ini ia memberi saya lebih banyak keyakinan dan rasa yang lebih baik,” kata Bagnaia yang akan memulakan perlumbaan di petak utama esok.
Sementara itu, pasukan Gresini Racing menyambut hari gemilang buat mereka apabila Alex Marquez yang menamatkan saingan di tempat kedua mengesahkan kedudukan sebagia naib juara dunia MotoGP apabila mengumpul 388 mata dan tidak lagi mampu dikejar oleh pencabar lain.
Lebih manis, rakan sepasukan Alex, Fermin Aldeguer yang melengkapkan podium di tangga ketiga di Sepang dinobatkan sebagai ‘Rookie of the Year’ bagi musim 2025 sejurus pelumba Sepanyol itu mengesahkan kedudukan kelapan dalam carta keseluruhan kejuaraan dengan mengumpul 190 mata.
Kemenangan Bagnaia pula membolehkannya merampas kedudukan ketiga dalam carta keseluruhan dengan 286 mata, mengatasi Marco Bezzecchi dengan kelebihan hanya satu mata (285 mata) yang kini jatuh ke tangga keempat. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































