KUALA LUMPUR – Kontroversi saman fitnah melibatkan pempengaruh Norsufia Johari atau lebih dikenali sebagai Cik Pia terus hangat apabila pihak pembelaan memohon jaminan kos RM75,000 daripada pasangan selebriti Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz.
Peguam Cik Pia, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates, mengesahkan permohonan berkenaan telah difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Kes ini membabitkan dua plaintif iaitu Norhaslinda Abdullah atau Nur Nilam serta Mohd Azlan Kamiran terhadap seorang defendan, Norsufia Johari.
“Prosiding merangkumi isu kerjasama perniagaan, penjualan produk, kenyataan di media sosial dan reputasi perniagaan.
“Justeru kami memohon plaintif membayar jaminan kos sebanyak RM75,000 dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas alasan permohonan itu, Adnan berkata situasi kedua-dua plaintif wajar diberi pertimbangan oleh mahkamah.
Dalam perkembangan sama, pihak pembelaan turut memohon agar writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif kedua dibatalkan sepenuhnya.
“Plaintif pertama merupakan warganegara Thailand dan boleh keluar negara pada bila-bila masa. Manakala plaintif kedua ialah individu berstatus bankrap.
“Defendan menjelaskan plaintif kedua memfailkan tindakan mahkamah sedangkan dia masih berstatus bankrap.
“Kami percaya dia tidak mendapatkan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Insolvensi sebelum memulakan tindakan ini,” ujarnya pada sidang media perkembangan kes saman fitnah membabitkan Azlan Komeng & Suzane Ortiz, di sini hari ini.
Sementara itu, prosiding perbicaraan kes saman fitnah berkenaan dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Jun tahun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Untuk rekod, pada Ogos lalu, Azlan dan Nilam memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tindakan itu dibuat selepas Cik Pia didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan provokasi di media sosial.
Menurut dokumen mahkamah, kenyataan tersebut mengandungi unsur “fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi serta buli siber” sehingga menyebabkan Nilam mengalami tekanan emosi, lebih-lebih lagi dalam keadaan sedang hamil.
Azlan dan Nilam turut memperoleh perintah injunksi inter partes terhadap Cik Pia pada 7 November lalu selepas mahkamah meneliti hujahan kedua-dua pihak.
Drama undang-undang pasangan itu dilihat masih jauh dari noktah, dengan perbicaraan menanti tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
4

















































