SEREMBAN – Seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘ayang’ pakar pembuatan peranti letupan buatan sendiri (IED) sempat ‘berdrama’ ketika didakwa di atas katil Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, hari ini.
Tertuduh, Yeoh Hock Sun, 63, menggelengkan kepala sebaik lima pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datin Surita Budin.
Pertuduhan yang dimulakan pada pukul 9.50 pagi itu, bagaimanapun tertangguh selama 20 minit semasa pertuduhan pertama dibacakan susulan ‘ayang’ mengadu sesak nafas ‘i cant breath’.
Pakar perubatan segera memberi rawatan dan selepas dirujuk oleh pakar bedah dan pakar psikitri, dia disahkan berada dalam keadaan stabil dan kes disambung semula pukul 10.15 pagi.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, telah didapati dalam milikan tertuduh bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan suatu anggapan munasabah bahawa tertuduh berniat untuk menggunakan bahan tersebut bagi maksud menyebabkan kecederaan.
Perbuatan itu dilakukan pada 22 Disember dan 27 Disember di antara pukul 12.30 tengah hari hingga 4.15 petang di tiga lokasi berbeza iaitu di sebuah Apartment Desa Palma, Nilai dan di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang diparkir di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar di Mantin.
Bagi tiga pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh telah melakukan khianat dengan menggunakan bahan letupan, dengan mengetahui bahawa perbuatan tersebut berkemungkinan menyebabkan kerosakan dan telah menyebabkan kerosakkan ke atas kenderaan jenis pikup Mitsubishi L200 Triton yang bernilai RM150.
Bagi pertuduhan kelima pula, tertuduh telah secara salah dan dengan niat jahat menggunakan bahan letupan IED dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kawasan parkir Blok A, Apartment Desa Palma di Nilai kira-kira pukul 5.55 pagi pada 22 Disember lalu.
Oleh itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda serta Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 yang mana boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan disebat.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni tidak menawarkan sebarang wang jaminan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes 12 Februari ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Sebelum ini, Kosmo! pada 27 Disember lalu melaporkan Ayang dalang utama pembuatan puluhan IED susulan kejadian letupan di Desa Palma, Nilai telah polis di kawasan Batang Benar, Nilai.- KOSMO! ONLINE

15 hours ago
4

















































