Aveta lancar dua model baharu Nova 250 dan Marvel 150

8 hours ago 4

PETALING JAYA – Aveta Malaysia terus menggegarkan industri motosikal tempatan dengan pelancaran dua model baharu yang menarik iaitu Nova 250 dan Marvel 150.

Nova 250 merupakan skuter urban berkuasa yang menggabungkan kuasa, keselesaan dan praktikal, manakala Marvel 150, motosikal gaya hidup yang direka untuk keseronokan tunggangan, ekspresi diri dan riadah hujung minggu.

Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim berkata, pelancaran ini membuka babak baharu dalam perjalanan Aveta yang dibina atas cita-cita, ketahanan dan kepercayaan bahawa setiap penunggang berhak menikmati lebih daripada sekadar tunggangan. 

Menurutnya, mereka percaya setiap penunggang layak merasai keyakinan, kebanggaan dan ketenangan minda dalam setiap perjalanan mereka.

“Kami memperkenalkan Nova 250, sebuah skuter yang bukan sekadar menyaingi pesaing, tetapi menetapkan standard baharu untuk penunggang yang mahukan lebih daripada tunggangan biasa.

“Selain itu, kami juga memperkenalkan Marvel 150, sebuah motosikal gaya hidup baharu yang direka untuk mereka yang menunggang demi keseronokan, yang hidup dengan tenaga dan semangat, dan yang melihat setiap jalan sebagai taman permainan mereka,” katanya ketika majlis pelancaran motosikal tersebut.

Tambanya, kedua-dua motosikal tersebut mewakili masa depan Aveta di mana tahun 2025 bukan sekadar tentang pelancaran model baharu, tetapi tentang membina komuniti yang lebih kukuh serta menetapkan penanda aras baharu dalam industri motosikal Malaysia.

Nova 250 hadir dengan dua pilihan warna elegan Emerald Green dan Metro Grey menjadi simbol baharu keyakinan dan aspirasi Aveta dalam landskap motosikal tempatan dan ditawarkan pada harga RM14,388.

Manakala, Marvel 150 hadir dengan dua pilihan warna menarik Sonic Blue dan Mocha Blaze dan ditawarkan pada harga RM7,988.

Steven berkata, ramai pesaing di pasaran menilai kejayaan melalui kuantiti pelancaran model baharu atau perang harga.

“Namun bagi Aveta, kejayaan sebenar datang daripada sesuatu yang lebih mendalam iaitu senyuman para penunggang yang mempercayai kami.

“Aveta hadir dengan satu matlamat utama iaitu untuk membina motosikal yang mampu mencetuskan rasa percaya, bangga dan yakin dalam diri setiap penunggang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |