KUALA LUMPUR – Australia kekal sebagai rakan yang teguh menyokong ASEAN sejak awal lagi, biarpun berlaku pelbagai perubahan dari segi dasar dan pendekatan dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai rakan dialog pertama ASEAN, Australia juga memegang tempat istimewa dalam sejarah hubungan kedua-dua pihak.
“Satu hakikat yang wajar kita ingat dan hargai. Australia juga merupakan rakan dialog pertama yang menyatakan sokongan terhadap Wawasan Komuniti ASEAN 2025, menekankan masa depan bersama yang aman, makmur dan berdaya tahan.
“Saya kekal optimis terhadap masa depan hubungan ASEAN-Australia kerana asasnya kukuh, hubungan antara rakyat dengan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, perniagaan, penyelidikan dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Hadir sama, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Anwar berkata, ASEAN dan Australia telah menyaksikan pelbagai pencapaian penting hasil kerjasama erat termasuk memuktamadkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 2020.
“Seterusnya peningkatan hubungan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2021, pembaharuan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) pada tahun 2023 serta sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dialog kita pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat pada hari ini pula merupakan satu peluang amat berharga bertukar pandangan dan mendengar input daripada semua rakan negara ASEAN serta daripada pihak Australia sendiri.
“Ini demi memastikan kita bukan sahaja mengekalkan, tetapi juga memperkukuh hubungan strategik ini pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
5









![[KEMASKINI] ‘Saya hubungi bapa mentua 30 kali tidak berjawab’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-29-at-3.35.57-PM-e1761726179178.jpeg)







































