ASEAN-Korea jiran saling bergantung

5 hours ago 1

KUALA LUMPUR – ASEAN bukan sekadar jiran serantau kepada Korea, malah sentiasa bergantung antara satu sama lain selain jambatan menghubungkan antara Asia Timur dengan Asia Tenggara.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung berkata, ia boleh dilihat menerusi pengalaman lalu yang membanggakan antara lain sewaktu bersama-sama mengatasi krisis kewangan, pandemik atau bencana alam.

“ASEAN merupakan jiran sentiasa saling bergantung dan menempuh kesukaran bersama. Sepanjang lebih 30 tahun lalu, rakyat Korea telah menjadikan ASEAN destinasi utama bagi lebih 10 juta rakyat Korea setiap tahun.

“Kini ASEAN merupakan tiga rakan pendidikan utama bagi Korea, manakala Korea pula melabur secara besar-besaran dalam masa depan ASEAN melalui Program ODA, dengan kadar penyertaan sebanyak 85 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-26 sempena Sidang Kemuncak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Jae-Myung berkata, syarikat-syarikat Korea dalam sektor automotif, keluli dan elektronik turut memainkan peranan penting dalam memacu perindustrian dan kemajuan teknologi di rantau ASEAN.

Malah, katanya, ASEAN dan Korea pada tahun lalu telah memperingati ulang tahun ke-35 hubungan dialog rasmi dengan menaik taraf hubungan kepada Rakan Strategik Menyeluruh (CSP) yang mana tahap kerjasama tertinggi antara kedua-dua pihak.

“Berdasarkan semangat Sidang Kemuncak Khas ASEAN–Korea ke-30, kami sedang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Khas ASEAN–Korea ke-40 di Korea pada tahun 2029, sempena ulang tahun ke-40 hubungan istimewa ini.

“Menjelang tahun 2029, kami berhasrat untuk memastikan CSP bukan sekadar simbol hubungan yang kukuh, tetapi turut membawa manfaat nyata kepada rakyat di kedua-dua rantau,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Korea mengemukakan tiga tumpuan dasar utama terhadap ASEAN antaranya republik itu sebagai rakan pembina impian dan harapan ASEAN melalui pertukaran tahunan melibatkan 15 juta orang, direalisasikan komuniti ASEAN yang berteraskan rakyat.

“Seterusnya, Korea sebagai pemangkin pertumbuhan dan inovasi ASEAN. Kami berhasrat meningkatkan jumlah perdagangan dua hala kepada dolar Amerika Syarikat (AS)$300 bilion setahun, sambil memperluas kerjasama teknologi, industri hijau dan ekonomi digital.

“Korea sebagai rakan keamanan dan kestabilan ASEAN. Korea akan memperkukuh kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan, keselamatan maritim dan pengurusan bencana, bagi membina komuniti serantau yang berdaya tahan dan aman,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga visi itu selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menekankan pembentukan komuniti berpusatkan rakyat, inovatif, dinamik dan berdaya tahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |