KUALA LUMPUR – Keanggotaan Timor-Leste sebagai ahli blok ke-11 ASEAN menunjukkan negara kecil ini bersedia menggalas tanggungjawab sebagai anggota serantau, malah mempunyai potensi yang besar.
Professor dan Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kamarulnizam Abdullah berkata, Timor-Leste telah menunjukkan komitmen untuk menjadi negara anggota ASEAN.
Menurutnya, setiap tahun ASEAN telah mengadakan lawatan penilaian terhadap kesediaan Timor-Leste menjadi negara anggota.
“Pelbagai aspek dinilai seperti tahap kesediaan daripada aspek pendidikan asas dan tinggi, pembangunan sosial, kemantapan sistem ekonomi dan kewangan serta penyediaan tenaga pentadbiran yang profesional.
“Walaupun beberapa pemerhati serantau berpendapat bahawa Timor-Leste akan menjadi bebanan ekonomi kepada ASEAN seperti mana Myanmar menjadi bebanan politiknya, namun negara ini mempunyai potensi besar.
“Ekonominya masih belum berkembang sepenuhnya. Tidak seperti Myanmar, Timor-Leste mengamalkan sistem demokrasi lebih terbuka, malah lebih baik daripada sesetengah negara ASEAN lain,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan dokumen deklarasi Timor-Leste menganggotai ASEAN kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn (paling kanan), sambil disaksikan Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta (kiri) dan Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana (dua dari kanan) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!Beliau berkata, dengan sistem demokrasi ini, Timor-Leste adalah lebih terbuka untuk pembangunan ekonomi masa hadapan.
“Untuk Malaysia, ini adalah titik sejarah kerana keanggotaan Timur-Leste diisytiharkan sewaktu sidang kemuncak di Kuala Lumpur. Sejak sekian lama Malaysia memainkan peranan yang aktif di dalam membantu Timor-Leste sebagai rakan baharunya di rantau ini.
“Keanggotaan ini juga akan memberi ruang yang lebih besar kepada hubungan dua hala kedua negara untuk dipertingkatkan,” katanya.
Kamarulnizam berkata, Timor-Leste adalah Malaysia 40 tahun yang lalu dengan struktur pembangunan sosial dan ekonomi masih belum disusun negara teratur.
“Kanun tanah tiada, proses pentadbiran kewangannya masih lagi belum diintegrasikan dalam sistem serantau. Ini adalah cabaran utamanya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara cabaran utama Timor-Leste untuk meyakinkan ASEAN menerimanya ialah kerapuhan sistem ekonomi dan kewangan.
“Timor-Leste disenaraikan oleh Global Finance sebagai negara ke-35 termiskin di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya dolar Amerika Syarikat (AS)$2 bilion pada tahun 2023.
“Di awal kemerdekaannya, Timor-Leste terpaksa bergantung kepada bantuan asing terutamanya daripada Australia, China dan Jepun.
“Gaji kakitangan kerajaan malah dibayar hasil daripada bantuan asing ini. Beberapa bangunan kerajaan dan kementerian dibangunkan hasil sumbangan asing tersebut,” katanya.
Menyentuh sejarah Timor-Leste, Kamarulnizam berkata, negara ini pernah mengalami beberapa krisis sebelum dan selepas kemerdekaan.
Katanya, Timor-Leste bergolak pada tahun 2006 yang mana telah memaksa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan United National Integrated Mission in Timor Leste (UNMIT).
Kamarulnizam“Malaysia salah satu negara terawal menyumbang kepada misi UNMIT dengan menghantar kira-kira 250 pegawai polis dan dua pemerhati tentera.
“Kita juga telah membantu Timor-Leste di dalam membentuk dan memberi latihan kepada pasukan polis Timor-Leste. Malaysia malah menyumbang trak polis untuk kegunaan polis negara tersebut.
“Saya sendiri dengan beberapa rakan universiti dijemput oleh Institut Diplomasi Timor-Leste untuk membina kurikulum program latihan diplomat muda untuk negara tersebut.
“Kami berulang-alik ke Dili selama tiga tahun memberi kuliah dan latihan kepada diplomat muda ini,” katanya.
Kamarulnizam berkata, latihan diplomat ini salah satu strategi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN, bahkan tidak dapat dinafikan, negara kecil Asia Tenggara ini memerlukan diplomat profesional yang dapat mewakili negara tersebut.
“Sebagai sebuah negara maritim mempunyai simpanan minyak yang banyak, peranan diplomat penting di dalam sebarang rundingan pelbagai dan dua hala.
“Walaupun Timor-Leste mempunyai diplomat kanan yang sebelum ini berkhidmat di beberapa negara di Eropah terutamanya di Portugal, ia memerlukan latihan berbentuk watan bagi membentuk jati diri yang kuat dalam kalangan diplomatnya,” katanya.
Tambah beliau, sistem pendidikan negara ini juga masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara serantau yang lain, ditambah penguasaan bahasa Inggeris masih lemah dalam kalangan graduan dan kualiti pendidikan tinggi masih perlu diperbaiki.
“Keperluan untuk mendapatkan diplomat profesional semakin mendesak apabila pemimpin politik negara tersebut menyuarakan kekesalan mereka terhadap perjanjian pembangunan dan eksplorasi minyak dan gas (JPDA) di Laut Timur.
“Kerajaan Dili mendakwa kehilangan lebih AS$5 bilion akibat permasalahan perjanjian tersebut. Walaupun kawasan diterokai kebanyakannya milik Timor-Leste, taktik Australia melengahkan pembangunan kerjasama tersebut telah merugikan kerajaan di Dili.
“Dili merasakan mereka telah ditipu oleh kerajaan Australia yang sebelum ini memperjuangkan kemerdekaan Timor-Leste daripada Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, justeru perjalanan Timor-Leste yang mempunyai kira-kira 1.4 juta penduduk untuk menjadi negara anggota bukan satu proses yang mudah kerana sebagai sebuah negara secara relatifnya baharu merdeka semenjak 2002, beberapa liku harus dilalui.
“Timor-Leste adalah negara anggota Community of Portugese_Sepaking Countries (CPLP). Banyak bantuan telah diberikan kepada Timor-Leste terutamanya daripada Brazil kepada Dili.
“Negara ini pernah dijajah oleh Portugal sebelum Indonesia mengambil alih pentadbiran apabila Lisbon meninggalkan bekas jajahannya tanpa meninggalkan satu struktur pentadbiran politik yang jelas. Ini mengakibatkan konflik tercetus yang membawa campur tangan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun kedudukan geografinya menunjukkan Timor-Leste harus bergerak bersama komuniti di Asia Tenggara.
“Semenjak mencapai kemerdekaan daripada Indonesia, Timor-Leste terus mengorak langkah melobi untuk menjadi negara anggota ASEAN.
“Apa yang paling menarik ialah Indonesia sendiri menyokong kemasukan Timor-Leste dalam ASEAN setelah berpuluh tahun konflik tercetus antara kedua-duanya.
“Indonesia menjadi perhatian masyarakat antarabangsa akibat daripada beberapa dasar ketenteraan di Timur Timor (nama Timor Leste sewaktu menjadi sebahagian daripada wilayah Indonesia) yang mengakibatkan krisis kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3

















































